PKPD gagal jika langkah proaktif tidak diambil, kata pakar


Ravin Palanisamy

Selangor dan Kuala Lumpur ditempatkan di bawah PKPD selama dua minggu selepas kedua-dua negeri itu terus melaporkan lonjakan kes Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Julai, 2021.

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKPD) yang dikuatkuasakan di Selangor dan Kuala Lumpur pasti akan gagal sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah proaktif dalam meningkatkan ujian, vaksinasi dan mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) di kawasan ini, kata pakar.

Mereka memberi amaran jika parameter ini tidak diikuti, kedua-dua kawasan ini mungkin akan berdepan lanjutan PKPD melebihi masa dua minggu yang ditetapkan.

Ini bermakna penutupan semasa gagal.

Seperti sekarang, negara kini berada di bawah sekatan pergerakan penuh mulai 1 Jun, dan walaupun berada dalam keadaan darurat sejak 11 Januari, kes Covid-19 tetap berada di atas 6,000 kes setiap hari dengan kebanyakan kes dikesan dari Lembah Klang terutamanya di Selangor.

Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata jika kerajaan serius dalam membendung jangkitan Covid-19 di kedua-dua negeri ini, pihaknya mesti segera meningkatkan ujian dan vaksinasi serta menguatkuasakan SOP lebih ketat.

“Kita masih perlahan dari segi ujian. Kapasiti ujian maksimum kita adalah sekitar 200,000 sehari.

“Penduduk di kawasan PKPD mungkin sekitar enam juta dan jika kerajaan melakukan 200,000 ujian sehari, akan memerlukan 30 hari untuk menyelesaikan satu pusingan ujian untuk semua.

“Kita perlukan dua pusingan ujian dalam dua minggu. Dengan purata 70,000 hingga 80,000 ujian setiap hari, yang jauh dari memuaskan, ini mungkin…mustahil untuk dicapai,” kata ahli Parlimen Gopeng berkenaan.

Beberapa daerah di Selangor dan 16 kawasan di Kuala Lumpur ditempatkan di bawah PKPD selama dua minggu dari 3 hingga 16 Julai.

Pengumuman perintah sekatan itu dibuat selepas Selangor dan Kuala Lumpur terus melaporkan lonjakan kes Covid-19.

Walaupun perintah kawalan pergerakan (PKP) atau sekatan pergerakan penuh dilaksanakan oleh Putrajaya pada 1 Jun, Selangor tetap melaporkan kes tertinggi mengikut negeri setiap hari sementara Kuala Lumpur mencecah 1,000 kes pertama pada 29 Jun dengan 1,361 kes.

Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob berkata Kementerian Kesihatan akan melakukan ujian saringan bersasar kepada semua penduduk di kawasan yang terjejas.

Beliau juga berkata bahawa Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) memberi jaminan bahawa program vaksinasi akan dipertingkatkan dan diperhebat di kawasan yang terjejas.

Lee bagaimanapun mempersoalkan adakah Malaysia mempunyai vaksin yang mencukupi untuk memberi suntikan vaksin kepada populasi yang berada di bawah PKPD.

Beliau berkata peningkatan pengedaran vaksin ke kawasan terjejas dapat mempengaruhi program vaksinasi di daerah lain dan menambah bahawa kerajaan belum mendapatkan vaksin yang mencukupi.

“Jika mereka mahu memberi vaksin di seluruh kawasan PKPD, adakah kita mempunyai vaksin yang mencukupi?

“Sekiranya kawasan PKPD diutamakan, maka vaksinasi di kawasan lain akan menjadi lambat kerana ketika ini kita tidak mempunyai vaksin yang mencukupi.

“Itu masalahnya..kerajaan tidak berusaha keras untuk mendapatkan vaksin yang mencukupi,” katanya. – 6 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen