PKPD di hampir seluruh Selangor, Kuala Lumpur


Kawasan yang terlibat ialah 34 mukim dalam 8 daerah di Selangor serta 11 lokaliti di Kuala Lumpur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Julai, 2021.

HAMPIR seluruh Lembah Klang diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) untuk 14 hari bermula 3 hingga 16 Julai, umum menteri kanan keselamatan Ismail Sabri Yaakob.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat keputusan itu berdasarkan pandangan Kementerian Kesihatan mengenai trend jangkitan di Selangor dan Kuala Lumpur, katanya.

Sebelum ini, Ismail mengumumkan dua lokaliti di Kuala Lumpur dikenakan PKPD iaitu Kampung Segambut Dalam, Segambut dan Jalan Kubur, Pantai Dalam sehingga 9 Julai.

Kawasan yang terlibat diumumkan hari ini merangkumi 34 mukim dalam 8 daerah di Selangor serta 14 lokaliti di Kuala Lumpur, tambahnya.

“Dengan pelaksanaan PKPD ini, semua laluan kawasan PKPD akan ditutup dan dikawal oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

“Semua penduduk di dalam kawasan PKPD tidak dibenarkan keluar dari kediaman masing-masing kecuali seorang sahaja wakil isi rumah keluar hanya untuk membeli keperluan asas di kawasan PKPD dalam radius 10 kilometer dari kediaman,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan petang ini.

Katanya, pergerakan tidak perlu dihadkan selepas jam 8 malam kecuali bagi kecemasan atau
yang mendapat kebenaran polis.

Sektor perkhidmatan perlu seperti utiliti, pembersihan dan kumbahan juga hanya diberoperasi dari 8.00 pagi hingga 8.00 malam.

Tambahnya, ujian saringan akan dijalankan secara bersasar ke atas semua penduduk di kawasan terlibat dan pemberian vaksin juga dipertingkat.
 
Perkara dibenar, dilarang

Dengan itu, warga terlibat boleh merentas negeri dan daerah untuk mendapatkan vaksin dengan menunjukkan butiran janji temu di aplikasi MySejahtera, laman sesawang atau SMS, katanya.

Beliau turut memberi jaminan, lapangan terbang, pelabuhan beroperasi termasuk pengangkutan awam keretapi, komuter, bas, teksi, feri dan e-hailing yang beroperasi dengan kapasiti 50%.

Bilangan penumpang dalam teksi dan e-hailing dihadkan dua orang sahaja termasuk pemandu.

Kilang yang dibenarkan beroperasi pula hanya melibatkan perusahaan kilang bahan makanan dan keperluan asas harian seperti beras, roti putih, gula, minyak masak, tepung gandum, susu segar, susu tepung bayi, ubat-ubatan, dan topeng muka.

Hanya pekerja bagi perkhidmatan perlu (essential services) atau menjalankan tugas rasmi Kerajaan dengan surat pengesahan daripada majikan atau pas pekerja yang sah dibenarkan bertugas.

“Pekerja selain daripada perkhidmatan perlu tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD dan tidak boleh bekerja sepanjang tempoh PKPD. 

“Majikan dikehendaki mematuhi perintah ini dan membenarkan pekerja bekerja dari rumah (work from home).

Pekerja daripada perkhidmatan perlu dan kilang-kilang serta premis-premis perniagaan yang dibenarkan sahaja boleh menggunakan surat MITI yang telah dikeluarkan sebelum ini.

Restoran, kedai atau gerai makan, kenderaan bersaji, penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera/pusat penjaja, gerai makan tepi jalan atau kiosk pula dibenarkan beroperasi antara 8.00 pagi hingga 8.00 malam.

“Pembelian makanan secara bawa pulang (take away), pandu lalu (drive-thru) atau penghantaran (delivery) sahaja dibenarkan,” tambahnya.

Kedai runcit, kedai serbaneka, kedai barangan keperluan harian juga hanya dibenarkan beroperasi antara 8.00 pagi hingga 8.00 malam.

Hospital, klinik dan makmal perubatan juga beroperasi sehingga 24 jam atau mengikut lesen kebenaran.

Kedai farmasi, kedai penjualan ubat-ubatan, klinik haiwan, kedai makanan haiwan, dibenarkan beroperasi antara 8 pagi hingga 8 malam.

Operasi stesen minyak pula hanya dibenar beroperasi antara 6 pagi hingga 8 malam dan stesen minyak di lebuh raya bertol dibenar beroperasi sehingga 24 jam.

Pasar borong pula dibenark beroperasi bermula tengah malam hingga 6 pagi.

Pasar awam, Pasar Tani Kekal (PTK) & MyFarm Outlet (MFO) dibenarkan beroperasi bermula 6 pagi hingga 2 petang.

Sebarang aktiviti sukan, sosial, rekreasi dan budaya pula tidak dibenarkan, katanya yang menambah, SOP lengkap dimuatkan di laman
sesawang MKN
.

Jangkitan tinggi

Katanya, KKM menjelaskan, trend jangkitan tinggi di Selangor dengan purata kes harian Covid-19 antara 1,800 ke 1,900. 

“Manakala di WP Kuala Lumpur purata kes harian adalah dalam lingkungan 600 ke 1,000 kes,” katanya.

Kes Covid-19 itu didapati berlaku ke atas lebih 12.1 daripada setiap 100,000 penduduk dan kadar kebolehjangkitan (R-naught) masih dalam lingkungan 1.0 dan tidak turun.

“Situasi ini adalah membimbangkan apabila mengambil kira kepadatan penduduk dan penularan tiga varian baharu yang lebih ganas,” kata Ismail. – 1 Julai, 2021

Berikut senarai mukim dalam daerah terlibat di Selangor dan Kuala Lumpur:


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen