Kes bunuh diri: Agamawan mesti tahu peranan, bukan tunjuk tahu semua


Mohd Syazreen Abdullah

KES bunuh diri yang dicatatkan pada tahun 2019 adalah sebanyak 609.

Manakala pada tahun 2020 sebanyak 631 kes. Bagi tempoh Januari hingga Mei 2021 telah berlaku sebanyak 468 kes.

Demikian kenyataan Media Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah mengenai purata bunuh diri yang berlaku pada setiap hari. 

Menurut laporan Kementerian Kesihatan menerima sebanyak 109,806 panggilan mengenai masalah psikologi, hilang pekerjaan dan pendapatan, masalah rumah tangga dan keluarga sepanjang enam bulan 2021. 

Semua masalah ini kebanyakan mengundang kepada kes bunuh diri yang terjadi pada hari ini. Ditambah penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara faktor penyumbang bunuh diri.

Dalam agama, mengeluarkan hukum mengenai bunuh diri tidak mudah dan sensitif dibincangkan. Ditangan agamawan yang kurang cermat, ia senang dihukum haram.

Kes bunuh diri bukan sekadar menuduh bahawa “si fulan yang berniat untuk membunuh diri, atau telah pun membunuh diri itu lemah imannya dan masuk neraka” 

Urusan ini wajib kita serahkan kepada Allah semata-mata, Yang Maha Mengetahui, Maha Kasih dan Maha Rahmah. Maka kita tidak layak untuk menghukum mereka di akhirat kelak. 

Jadi berhati-hati bicara tentang kesihatan mental ini apatah lagi dengan menggunakan imej Islamik.

Benar, tidak dinafikan bahawa agama ada menyumbang rawatan mental seperti terapi jiwa dan hati.

Namun kita harus lebih peka dan bijak dalam mengoperasikan rawatan ini mengikut pertimbangan situasi semasa dan kecemasan. 

Buat masa ini, simpan dahulu dalil-dalil, hadis-hadis dan ayat Quran. Dahulukan mencari solusi penyelesaian jalan keluar dari kemelut gejala ini dengan lebih efektif dan munasabah yang manusiawi.

Ketika ini, mereka ingin diubati dengan bantuan kewangan, sokongan moral, harapan, cinta dan masa depan lebih terjamin. 

Bantuan pakar kesihatan, bukan agamawan 

Ironinya baru-baru ini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melancarkan gempur terhadap pesakit mental dengan menempatkan 160 pegawainya di hospital yang menangani kemurungan.

Berita seperti ini sebenarnya menggusarkan banyak pihak. Lebih-lebih lagi mengenai pendekatan yang bakal dilakukan oleh orang berimej agama. 

Sedangkan, menangani hal ini perlu kemahiran ilmu psikologi, psikiatri dan pelbagai kemahiran tinggi.

Pasti latihan dan pengalaman luas yang mencukupi. Jangan bayangkan rawatan sembrono seperti terapi rukyah Islam. 

Justeru, hati-hati para agamawan yang berhajat untuk memulihkan pesakit mental. 

Jangan ghairah dan seronok mahu mengguna ayat-ayat “tazkirah” apabila berhadapan dengan pesakit. Ia bakal undang mudarat. 

Sebaliknya para agamawan harus peka mana yang lebih utama. Jangan tambahkan mudarat. Jika tidak arif, serah kepada pakar kesihatan mental.

Itu kerja mereka. Bukan kerja agamawan. 

Apakah agamawan ini benar-benar pakar yang diiktiraf dari segi perubatan dan psikologi? Kalau pun ada latihan kepakaran yang didakwa, apakah terapi jiwa kerohanian paling mustahak ketika ini?

Apatah lagi “rawatan islamik” itu bakal mengundang bermacam-macam persepsi buruk masyarakat terhadap mereka yang konon lemahnya iman.

Cukuplah kesakitan jiwa dengan ujian seperti normalisasi stigma jahat, sindiran, sentap dan troll yang telah mereka hadapi selama ini. 

Jangan ditambah derita lagi. Mereka sedang diuji.

Sebagaimana dikatakan oleh Timbalan Mufti Perak Datuk Zamri Hashim bahawa stigma kepada perbuatan orang yang membunuh diri sebagai tidak waras adalah satu pandangan yang salah, dan ia “tidak sepatutnya dinormalisasikan.” 

Justeru, sedar terhadap batasan diri dan fahami masalah mendasar asbab peningkatan sakit mental dan bunuh diri. Maka serahkan kepada ahlinya yang benar-benar pakar dalam menguruskan masalah mental.

Masalah ekonomi, urus tadbir

Agamawan harus sedar bahawa paling banyak panggilan yang diterima KKM rata-rata mengenai masalah yang memerlukan bantuan dan sokongan emosi.

Mereka ini yang paling terkesan dalam purata peratusan yang mengalami pengangguran, isi rumah miskin tanpa bantuan, kos sara hidup, dan bayaran gaji rendah. 

Justeru hampir keseluruhan masalah ini membelenggu kesihatan mental rakyat Malaysia. Ditambah kemerosotan sistem ekonomi dan pengurusan urus tadbir pemerintah yang lemah. 

Peningkatan kes Covid-19 seakan-seakan menandakan jaminan masa depan yang gelap dan suram. Sedangkan mereka mempunyai impian, harapan dan kebebasan untuk hidup lebih baik. 

Namun masih ada agamawan merasakan masalah bunuh diri berpunca lemahnya iman dan kurangnya berdoa meminta bantuan kepada Tuhan.

Jadi di benak fikiran agamawan bahawa bunuh diri, hanya berorientasi masalah keagamaan, sedangkan ia juga masalah ekonomi dan kerosakan urus tadbir. 

Maka tidak pelik mengapa masalah mengenai mental dan bunuh diri harus dijauhi daripada tangan agamawan. 

Lihatlah cadangan buka masjid dan surau secara berperingkat selepas fasa pemulihan sebagaimana yang dicadangkan oleh agamawan bahawa ia dapat memulihkan kesihatan mental rakyat sekali gus mengurangkan kes bunuh diri. 

Ketika saat gentir ini, eloklah agamawan muhasabah dan mendahulukan perkara lebih utama. Bukankah agama diajar tentang fikih aulawiyat. Berikan keutamaan kepada perkara yang lebih mustahak. 

Justeru, tumpukan saat ini kepada pemulihan mental dari sudut bantuan semaksima di samping memberi sokongan kepada tenaga pakar mental oleh pegawai perubatan kesihatan.

Selain itu, agamawan harus bersuara mengkritik terhadap kepincangan pentadbiran. Kerana kegagalan mentadbir akibat masyarakat mengalami masalah mental sekali gus kes bunuh diri.

Segera pulihkan sistem negara yang sudah merosot ini sama ada ekonomi, kesihatan dan pentadbiran. 

Rakyat mahukan sebuah jaminan kerajaan baik. Bukan sekadar menghulur beberapa bantuan yang hanya dapat bertahan beberapa ketika sahaja.

Sebaliknya rakyat mahu pelan pemulihan dan strategi yang ampuh dalam menangani pandemik ini. Jangan bersikap sambil lewa. 

Akibat itu, ia punca terhadap masalah peningkatan sakit mental dan bunuh diri. Tidak ada sama sekali mengenai soal iman dan agama.

Rakyat tidak boleh tenang beribadat andai hari-hari dikelilingi dengan jaminan hidup yang kelam, kusut dan gelap. 

Justeru agamawan perlu empati, jangan menambahkan lagi stigma bunuh diri akibat kurang didikan agama.

Sebarkan kasih sayang dan kebajikan

Harapan (raja’) adalah satu elemen psikologi mengandungi kindness, love, caring, compassion yang diperlukan oleh seseorang yang mengalami sakit mental saat kini. 

Agamawan dan kita semua harus mengambil berat mengenai masalah mereka alami. Masyarakat harus jadi pendengar yang baik  sekali gus memberi sokongan sosial dan moral kepada mereka. 

Jangan biarkan stigma jahat terus membelenggu hidup mereka dan masyarakat.

Kerana itu peranan agamawan harus mengutamakan dalam menyebarkan mesej agama cinta yang pedulikan kebajikan dan kasih sayang kemanusiaan seperti menyokong usaha kebajikan dan menyeru kepada masyarakat bersatu padu membantu orang dalam kesusahan. 

Justeru kerja-kerja pemulihan pesakit mental serahkan kepada pakar sebaliknya agamawan konsisten menyebarkan risalah cinta. Bukan menghukum dan mencipta stigma buruk terhadap pesakit mental. 

Misalnya sentiasa mengingatkan umat untuk terus menyebarkan kasih sayang, kebajikan dan mengambil peduli terhadap orang yang dalam kesusahan hidup seperti pesan hadis ini:

“Seorang Muslim adalah saudara orang Muslim lainnya. Ia tidak boleh menzaliminya dan tidak boleh membiarkannya diganggu (bahkan ia wajib menolong dan membelanya). Barang siapa membantu keperluan saudaranya, maka Allah Azzawajalla sentiasa akan menolongnya. Barang siapa melapangkan kesulitan orang Muslim, maka Allah akan melapangkan baginya daripada salah satu kesempitan di hari Kiamat dan barang siapa menutupi (aib) orang Muslim, maka Allah menutupi (aib)nya pada hari kiamat.” 

Maka itu, agamawan perlu tahu peranannya, bukan merasakan tahu semua perkara! – 4 Julai, 2021.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen