Selepas media bongkar, KPM teruskan bayar gaji penuh pekerja pembersihan sekolah


Sekolah ditutup kerana pandemik Covid-19 dan pekerja pembersihan menerima padah apabila gaji mereka dipotong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Julai, 2021.

PEKERJA pembersihan di sekolah kerajaan akan terus menerima gaji penuh, kata Kementerian Pendidikan dalam satu pengumuman, seterusnya membatalkan keputusan pemotongan gaji sebelum ini kerana penutupan sekolah disebabkan pandemik Covid-19.

“Pembayaran kepada kontraktor akan dibuat sepenuhnya sebagaimana dinyatakan dalam kontrak. Oleh itu, tidak timbul isu kontraktor perlu memotong gaji pekerja KBK (Kebersihan Bangunan dan Kawasan),” umum kementerian dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kementerian juga akan meneruskan kontrak kontraktor Bekalan Makanan Bermasak (BMB) dengan mengambil kira tempoh masa mereka tidak dapat bekerja kerana perintah kawalan pergerakan.

KPM turut mengumumkan melanjutkan kontrak pengendali kantin, kedai buku, koperasi, kedai dobi dan mesin layan diri di sekolah kerajaan selama setahun selepas tamatnya kontrak asal mereka.

Pengecualian cukai selama enam bulan bermula 1 Julai hingga akhir tahun ini juga diberikan kepada semua penyewa kantin dan ruang dalam bangunan sekolah kerajaan.

“KPM yakin inisiatif ini dapat membantu meringankan beban kewangan penyedia perkhidmatan di institusi bawah KPM serta pekerja terlibat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.”

Kenyataan itu dikeluarkan selepas pelbagai media melaporkan rayuan pekerja pembersihan sekolah yang berkata mereka tidak mampu menyara keluarga dengan gaji hanya RM600 atau RM700 sebulan sekiranya pemotongan gaji diteruskan.

Pemotongan itu melibatkan 40% gaji bulanan mereka dan menjejaskan hampir 50,000 pekerja pembersihan sekolah seluruh negara yang kebanyakannya adalah kumpulan B40.

Pemotongan gaji itu bermula bulan lepas dan didedahkan oleh beberapa kumpulan pekerja seperti Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan.

Gabungan Persatuan Kontraktor KBK Malaysia, sebuah gabungan kontraktor pembersihan sekolah kerajaan, berkata pemotongan gaji itu terpaksa dilakukan selaras dengan prosedur operasi standard yang mengurangkan jumlah pekerja pencucian untuk mematuhi penjarakan sosial.

Gabungan berkata KPM tersilap dalam mengikuti SOP Majlis Keselamatan Negara yang menghendaki 60% pekerja berada di lapangan yang terpakai untuk kilang dan syarikat pembuatan, dan bukannya pekerja pembersihan sekolah.

Pekerja pembersihan sekolah menerima gaji bulanan sekitar RM1,200 seorang. – 4 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen