Ulama PAS, kesusahan rakyat dan kempen bendera putih


Mohd Syazreen Abdullah

PAS yang mendakwa mereka mempunyai banyak ulama dan pakar perundangan Islam hari ini patut berasa malu.

Peranan mereka membawa imej agama tidak langsung membantu kesusahan rakyat yang dihimpit kesusahan hidup hari ini. Mereka tidak punya hati nurani melihat kesusahan rakyat. 

Lihatlah ada pemimpin PAS mendakwa bahawa kempen angkat bendera putih bermakna kekalahan. Sedangkan masyarakat bersolidariti membantu meringankan beban kesusahan rakyat. 

Kempen bendera putih adalah untuk memberi bantuan kepada golongan dalam kesusahan  dek tidak sanggup lagi menanggung derita di bawah kerajaan zalim.

Mereka meminta bantuan kerana sudah tiada beras untuk dimakan. Ia bukan kekalahan, sebaliknya ia manifestasi sebuah kerajaan yang zalim dan gagal berfungsi. 

Ini adalah kempen kemanusiaan yang baik. Tolong menolong sesama manusia. Maka menjadi tanggungjawab membantu kelompok susah. Jangan pandang dari kaca mata politik kepartian. 

Hal ini kerana kerajaan sudah tidak boleh diharap. Justeru masyarakat mengambil alih membantu mereka. Demikian kegagalan PAS memahami kesusahan rakyat.

Apakah ulama PAS ingat kesusahan rakyat hari ini adalah perkara yang remeh temeh? 

Kerana itu imej agama telah rosak di tangan mereka. Di tengah kezaliman penguasa terhadap rakyat, ulama PAS memilih jadi badut bisu yang hanya tahu mengelap lendir busuk pemerintahan zalim.

Ironi, mereka mengaku faham syariah tetapi buta kemanusiaan melihat kesusahan hidup rakyat. 

Realiti hari ini, hidup rakyat sudah lemas dan mual melihat agama dicandukan begitu hina.

Justeru, umat dapat menilai sikap mereka ini tidak ubah seperti penunggang agama yang laparkan kekuasaan sehingga menipu atas nama agama. Laungan mereka konon untuk Islam hanya hipokrit demi nafsu keduniaan. Akhirnya, umat  yang menanggung beban dan derita. 

Jika mereka rasa ada maruah dan sayangkan agama, mereka harus keluar daripada kerajaan zalim yang kotor hari ini dan melawan kerosakan – berpihak kepada golongan ditindas.

Demikian pandemik hari ini benar-benar menguji. Kita hari ini harus sedar banyak orang sedang bertarung nyawa dalam ujian kehidupan dan mengalami kesusahan hidup.

Ada yang hilang kerja dan sanggup melakukan apa sahaja demi sesuap nasi. Banyak anak orang miskin tidak ada kemudahan dalam menikmati pendidikan pembelajaran hari ini. 

Kesan semua ini, umat mengalami kemurungan dan hilang kepercayaan diri sekali gus meruntuhkan jiwa dan fikiran. Ada sehingga terpaksa melakukan jenayah dan membunuh diri kerana depresi yang dahsyat dek tekanan hidup di bawah kerajaan maha zalim yang tidak mengerti ini. 

Motivasi mereka telah jatuh. Janganlah dilemparkan sebakul ayat Quran dan hadis kepada mereka. Mereka perlukan bantuan material untuk hidup. Realistiklah wahai ulama PAS!

Melihat keadaan begini, sebagai manusia punya secubit rasa kemanusiaan dan iman, tidak harus kita melupakan dan membiarkan kesusahan ini terus menerus merosakkan kehidupan mereka.

Mereka dan kita semua harus diadili dengan hak dan keadilan yang selayaknya. Kerana itu wujudnya kempen bendera putih.

Berhentilah jadi manusia yang tiada sikap manusiawi di tengah pandemik sebegini. Jangan salahkan rakyat kerana gagal mengawal tekanan hidup.

Sebaliknya para ulama PAS dan agamawan yang cerdik pandai hari ini harus berfikir bagaimana untuk melestarikan maqasid syariah yang sering dilaungkan demi membantu pemeliharaan hidup dan nyawa umat hari ini dari keburukan. 

Maqasid syariah itu sendiri bermaksud menghasilkan kebaikan (jalb al-maslahah) dan menolak keburukan (dar almafsadah).

Bukankah tujuan agama itu menuntut kita untuk memelihara kehidupan dan nyawa manusia – Hifz al-Nafs?

Islam harus tampil mengatasi kemiskinan

Salah satu elemen maqasid al-nafs adalah memelihara nyawa dengan menjamin kehidupan manusia lebih baik supaya tidak dibelenggu dengan kesusahan dan penderitaan.

Kesusahan rakyat di kala pandemik ini adalah kesusahan hidup yang gagal dibendung oleh penguasa. Bukan kerana kekurangan iman. 

Sebaliknya tindakan pemerintah caca merba dan gagal menjalankan tugas dengan empati terhadap kesusahan rakyat sekali gus gagal membasmi kemiskinan.

Ulama gagal membendung kemiskinan. Sepatutnya ulama mesti tegas dan melawan sikap zalim dan culas penguasa kerana ia melibatkan nyawa manusia sekali gus tuntutan penting agama dalam maqasid syariah. 

Apakah PAS sudah sedap di tampuk kuasa sehingga buta mata, hati dan bebal dalam melihat kesusahan rakyat pada hari ini?

Ada tiga kerja Nabi SAW yang ulama PAS lupa kerana kesedapan di tampuk kekuasaan. Pertama, amar makruf nahi munkar; kedua, menjelaskan keharaman dan ketiga, membebaskan umat daripada beban hidup yang menghimpit dan memasung mereka.

Justeru, perjuangan bebaskan umat daripada belenggu kesusahan hidup merupakan sebahagian kerja Nabi. Kerana itu Islam meletakkan masalah ini dalam tujuan terpenting Syariah Islam sebagai maqasid hifz al-nafs.

Bahkan dalam Quran menurut tafsiran Imam Fakhrur Din al-Razi, dalam surah al-Qadr, terdapat seruan kebajikan dalam membasmi kemiskinan iaitu amalan membantu orang susah. 

Beliau menyebut bahawa para Malaikat itu seringkali berusaha mahu mengetahui amalan-amalan yang dilakukan di atas bumi.

Para malaikat mahu turun ke bumi untuk melihat apakah di bumi itu indah semuanya? Diceritakan saat malaikat turun dipersaksikan amalan-amalan yang berlaku di dunia dan dilakukan juga di akhirat. 

Sebagai contoh amalan bertawaf di bumi, di langit juga bertawaf. Amalan bertasybih di bumi dan di langit juga turut bertasybih.

Namun, ada satu amalan yang dilakukan di bumi tetapi tidak dilakukan di akhirat. Sudah pasti ia bukan sebarang amalan. Justeru amalan yang disebutkan itu adalah membantu orang-orang miskin dan kesusahan.

Apa yang menarik dalam penafsiran ini, bahawa para malaikat yang turun ke bumi untuk menyaksikan amalan terindah itu adalah untuk memberikan salam kepada orang yang melakukan kebajikan sosial, membantu orang miskin, dan membela kaum tertindas. 

Ulama PAS dan agamawan harus lebih sedar terhadap seruan amalan ini di kala saat pandemik yang menghimpit rakyat. Bukan memperlekehkan usaha bantuan masyarakat. 

Mereka harus mengambil pelajaran daripada tafsiran ini untuk bersikap mempertahankan rakyat dari penindasan penguasa dengan menghayati teologi pembebasan kemiskinan. Misalnya membantu orang susah yang ditindas (mustad’afin) dan melawan keangkuhan penguasa zalim (musktakbirin)

Bendera putih satu ikhtiar

Ketika revolusi Islam di Iran, ulama berupaya membebaskan kaum mustad’afin untuk keluar dari kemelut kemiskinan.

Mereka membebaskan penderitaan saudara-saudara yang ditimpa kesusahan dengan menyatakan kebenaran dan melawan kezaliman. Mereka percaya bahawa teologi kebebasan melawan kemiskinan adalah keluar dari penindasan. 

Di Malaysia, kita mempunyai banyak institusi agama yang boleh dipergiatkan lagi untuk dikerah semaksima dalam membendung kemiskinan dan derita rakyat.

Mereka harus lebih berfungsi di kala pandemik ini. Bukannya memuntahkan ayat-ayat motivasi islamik kepada orang-orang dalam kesusahan. Apatah lagi mengecam. 

Justeru, ulama PAS harus mempunyai lebih sikap empati dan manusiawi saat ini. Mereka patut malu kepada usaha masyarakat yang sama-sama ikhtiar membantu kesusahan rakyat seperti kempen bendera putih.

Begitulah dalam agama pun kita diajar untuk mengisi perut yang kosong terlebih dahulu sebelum lakukan solat. Kerana kelaparan tidak akan memberi ketenangan dalam beribadah. Apatah lagi untuk hidup. 

Nabi tidak menyuruh umat segerakan solat dahulu kemudian makan. Lebih afdal, adalah makan dahulu kemudian solat.

Islam dilihat jumud kerana menjaga kebajikan nyawa manusia hari ini atau hifz al-nafs dianggap hal yang remeh temeh berbanding ibadah solat, haji dan lain-lain. 

Maka, ulama PAS mesti berjuang habis-habisan melindungi rakyat yang dihimpit kesulitan hidup. Jangan jadi boneka kepada penguasa sehinggakan tidak berani mengatakan kebenaran. 

Kerana sesiapa yang mengaku beriman kepada Allah harus menunjukkan sikap berpihak kepada orang-orang yang lemah (al-mustad’afin) seperti orang yang dalam kesempitan hidup, dan orang yang ditindas dalam apa jua keadaan. Mereka harus diberikan hak dan keadilan.  

Tidak ada cara lain di saat kerosakan dan kezaliman yang melanda derita umat hari ini selain dengan bermati-matian menyelamatkan kemanusiaan sekali gus mengatakan kebenaran dan kebatilan di hadapan penguasa zalim. 

Ulama PAS, jika masih ada iman, renungilah ayat al-Quran ini: “Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian.” Adz-Dzaariyat19. – 30 Jun, 2021.
 

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen