Pemulih tidak dapat kembalikan kredibiliti Perikatan, kata penganalisis


Chan Kok Leong

Pakar ekonomi berpendapat Pemulih hanya memberi gambaran yang kerajaan membantu rakyat walaupun ketika ekonomi sedang parah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Jun, 2021.

SELEPAS dikritik hebat baru-baru ini kerana respons suam-suam kuku untuk mengadakan sidang Parlimen, pakej bantuan terbaharu Perikatan Nasional (PN), Pemulih, dilihat dapat memberi sedikit ruang buat kerajaan daripada amarah rakyat, kata penganalisis politik.

Bagaimanapun mereka memperingatkan ruang kerajaan bernafas itu hanya sekejap sahaja kerana banyak insentif Pemulih hanyalah langkah sementara dan tidak dapat kembalikan kredibiliti PN.

Profesor Universiti Malaya, Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, skim i-Citra yang membolehkan pengeluaran wang sehingga RM5,000 dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium pinjaman enam bulan hanya sementara kerana ia masih wang rakyat.

Peruntukan RM300,000 untuk digunakan oleh semua ahli Parlimen untuk bantuan bakul makanan juga merupakan langkah sementara, katanya.

“Bantuan bakul makanan bersifat sementara dan maka itu kemarahan yang reda juga bersifat sementara. 

“Umpama memberi harimau lapar makan, maka apabila lapar akan mengaum lagi,” kata pensyarah kajian etnik Melayu itu.

Awang Azman berkata perkara terbaik dibuat PN melalui Pemulih adalah memberikan peruntukan sama rata kepada semua ahli Parlimen tanpa mengira fahaman politik.

Beliau yang berasal dari Sarawak itu berkata walaupun tepat pada masanya, Pemulih hanya memberi gambaran kerajaan membantu rakyat ketika ekonomi sedang parah.

““Sebenarnya rakyat lebih banyak menggunakan wang simpanan mereka sendiri seperti penggunaan wang simpanan KWSP.

“Juga terdedah kepada kadar faedah bank akan terus berjalan untuk tempoh 6 bulan dan ini membebankan rakyat menghadapi kemelut ekonomi yang sukar,” kata Awang Azman.

Selepas lebih sebulan sekatan pergerakan dilaksana, pada Isnin, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej bantuan ekonomi terbaharu dikenali sebagai Pemulih.

Walaupun disebut-sebut sebagai pakej RM150 bilion, kerajaan berkata ia hanya menyuntik RM10 bilion melalui pembayaran tunai langsung.

Secara keseluruhan, kerajaan PN mendakwa mengagihkan RM380 bilion melalui tujuh pakej bantuan walaupun suntikan fiskal kurang daripada suku. – 30 Jun, 2021.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen