Perbalahan logo dedah kepincangan Pakatan, kata penganalisis


Chan Kok Leong

Penganalisis berkata pertikaian logo untuk digunakan dalam PRU15 tidak membantu PH dalam jangka masa panjang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Jun 2021.

JENAMA Pakatan Harapan (PH) tidak akan berjaya jika semua calon dalam gabungan pakatan itu memilih untuk menggunakan loto PKR pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Mereka berkata dua lagi parti berbilang kaum dalam gabungan itu, DAP dan Amanah juga akan kalah dalam jangka masa panjang.

“Benar, logo PKR lebih diterima luas berbanding PH kerana ia masih baru dan kekuatannya belum terbukti,” kata pensyarah Universiti Malaya Prof Dr Awang Azman Awang Pawi.

“Oleh itu ada merit juga cadangan Pemuda PKR untuk menggunakan logo sendiri pada PRU akan datang.”

Awang Azman mengulas cadangan Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir supaya PH bertanding menggunakan logo PKR pada PRU15 seperti pada 2018.

Pensyarah sains politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Lau Zhe Wei juga bersetuju logo PH kurang popular berbanding logo PKR dan DAP.

Lau berpendapat ini adalah kegagalan PH sendiri dalam mempromosikan jenamanya.

“Sudah cukupkah mereka mempopularkan logo PH? Saya tidak fikir begitu,” kata Lau.

Malah katanya, parti PH menggunakan logo berbeza ketika bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sabah tahun lalu.

“DAP dan Amanah menggunakan logo Warisan sementara PKR menggunakan logo sendiri. Tidak ada usaha untuk menggunakan logo PH di Sabah.”

Lau berkata pertikaian logo tidak membantu PH dalam jangka masa panjang.

“Walaupun PKR boleh mengatakan logo PH lemah, DAP juga boleh mendakwa logo PKR dicemari kerana jumlah pembelotan yang tinggi. Oleh itu hujah ini tidak akan sampai ke mana-mana,” kata Lau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar turut menyalahkan pimpinan PH akibat kelemahan jenama.

“Jenama PH lemah kerana mereka tidak cukup mempromosikannya ketika berada dalam kerajaan. Oleh itu, jenama dan logo mereka sangat lemah.

“Saranan PKR menunjukkan betapa buruknya parti komponennya melihat gabungan itu,” kata Hisommudin. – 11 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen