PM umum pakej bantuan bernilai RM150 bilion


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin melancarkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) bernilai RM150 bilion merangkumi suntikan langsung fiskal sebanyak RM10 bilion. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Jun, 2021.

KERAJAAN hari ini melancarkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) bernilai RM150 bilion merangkumi suntikan langsung fiskal sebanyak RM10 bilion bertujuan memberikan bantuan menyeluruh kepada rakyat, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, bantuan itu menumpukan kepada tiga fokus utama iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi.

“Sejak pandemik Covid-19 melanda negara, kerajaan telah melaksanakan tujuh program bantuan dan pakej rangsangan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM380 bilion.

“Setakat ini, sebanyak lebih RM200 bilion telah disalurkan dan memberi manfaat kepada lebih 20 juta rakyat serta 2.4 juta perniagaan.

“Belanjawan 2021 pula bernilai 322.5 bilion ringgit dan masih berbaki 100 bilion ringgit untuk dibelanjakan sehingga hujung tahun ini,” katanya semasa mengumumkan pakej Pemulih yang disiarkan secara langsung melalui stesen televisyen tempatan, hari ini.

Muhyiddin berkata bagi fokus meneruskan agenda prihatin rakyat, kerajaan akan menyalurkan bantuan tunai langsung kepada rakyat berjumlah RM10 bilion merangkumi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Menurutnya, semasa pengumuman Pemerkasa Tambahan yang lepas, kerajaan bersetuju untuk memberi bayaran tambahan bagi BPR sehingga RM500 pada bulan Julai dan bayarannya akan dibuat secara berperingkat mulai 29 Jun.

Manakala BPR fasa ketiga dengan kadar bantuan antara RM100 hingga RM1,400 akan dibayar pada September depan.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, nilai BPR sehingga hujung tahun ini adalah RM4.9 bilion. 

Kerajaan juga, katanya, akan memberikan diskaun elektrik kepada pengguna domestik dan bukan domestik dengan menanggung kos tambahan sebanyak RM1 bilion.

“Bagi fokus menyokong perniagaan pula, kerajaan akan menyalurkan beberapa bentuk bantuan demi menjamin kelangsungan perniagaan dalam kedua-dua fasa ini.

“Melalui fokus kedua ini, beberapa pendekatan akan ditambah baik antaranya mengurangkan kos tanggungan majikan, menyokong usaha digitalisasi, memberikan kemudahan bantuan kewangan dan insentif percukaian, menyediakan fasiliti pembiayaan dan meneruskan insentif penggajian.

“Pelaksanaan Geran Khas Prihatin atau GKP telah berjaya menyokong kelangsungan perniagaan dalam kalangan peniaga kecil, terutamanya mereka yang masih tidak dibenarkan beroperasi,” katanya.

Menurutnya, secara keseluruhannya kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM5.1 bilion melalui inisiatif GKP.

D bawah Pemerkasa Tambahan penerima yang layak telah mendapat bayaran GKP 3.0 sebanyak RM1000 kira-kira dua minggu lepas dan bakal mendapat RM 500 lagi pada pertengahanJulai nanti.

Memahami kesukaran yang dihadapi oleh pengusaha PKS mikro pada masa ini, Muhyiddin turut mengumumkan kerajaan bersetuju untuk menyediakan bayaran tambahan di bawah GKP 4.0 kepada penerima yang layak iaitu sebanyak RM500 ringgit akan dibayar pada September dan RM500 lagi pada November 2021. – Bernama, 28 Jun, 2021.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen