Keindahan Tao yang hilang dalam kehidupan beragama


Mohd Syazreen Abdullah

“Tao yang mampu dilalui, bukanlah Tao yang abadi,

Nama yang mampu dinamakan, bukanlah nama yang abadi,

Tanpa bernama, itulah permulaan langit dan bumi,

Dengan adanya nama, itulah ibu bagi segala sesuatu.”

 

TAO Te Ching merupakan buku mistik, mengenai ehwal jalan. Manusia sempurna yang mencapai ketinggian darjat melalui “jalan” hingga benar-benar menyatu dengan Maha Tinggi.

Ia jalan (Tao) yang suram dan kelam sebelum adanya langit dan bumi. Tidak dapat dikenali dan diketahui, malah tidak dapat difahami – abstrak. Dia jalan tersembunyi dalam pelbagai bentuk, citra dan sesuatu – mumkinat/wan wu.

Tao Te Ching ditulis seorang pemikir lagenda Cina kuno bernama Lao-Tzu. Kitab kuno agung ini paling banyak dibaca di Barat dan seantero dunia dengan pelbagai bahasa sekali gus bukti daripada kebijakan timur.

Di Malaysia, karya Tao ada diterjemahkan. Salah satunya diterjemahkan oleh intelektual muda, Hazman Baharom di bawah terbitan Biblio Press dan disekalikan kata pengantar oleh seorang intelektual hebat Prof Osman Bakar. Itu saja sudah cukup menyimpulkan kehebatan buku yang layak disambut dengan baik masyarakat Malaysia.

Tao dalam catatan pendek Hazman bermaksud “jalan” yang bukan jalan fizikal tetapi lebih kepada “jalan” dengan maksud abstrak. Justeru, mengenali Tao bukan sekadar membaca kata-kata pendek nan indah, kerana intipatinya penuh dengan kerahsiaan dan misteri.

Ia memaksa kita untuk menyelami dan benar-benar mengenali. Kerana kedalaman Tao hanya dapat disingkapi dalam  jiwa universal. Bukan jiwa kebinatangan – manusia rohani.

Kebersamaan jalan kerohanian

Buku Tao Te Ching ini banyak didiskusikan pelbagai sarjana dunia. Bahasanya menyentak iman banyak orang sehingga mengundang kontroversi. Menariknya apabila membaca Tao, kita akan temu titik persamaan dalam tradisi keagamaan melalui falsafah kerohanian cina dan Islam.

Perbandingan dan persamaan dalam kajian Tao dan Islam khususnya sufi dilakukan banyak pengkaji Islam seperti sarjana Jepun yang mengamati kajian keislaman seperti Profesor Toshihiko Izutsu, dan Sachiko Murata serta lain-lain.

Menurut kajian Sachiko Murata dalam karya The Tao of Islam, ia menghubungkan kajian teologi dan kosmologi dalam perspektif gender. Murata menemukan titik temu dari sudut persoalan konsep Yang dan Yin yang seirama mirip dengan konsep sufi iaitu tanzih dan tasbih sekali gus mewajahkan konsep tajalli (Sheng) Tuhan.

Begitu juga dalam kajian Toshihiko Izutsu yang membangunkan dialog antara Ibn Arabi, dan pemikir Taois seperti Lao-Tzu dan Chuang tzu. Beliau menemukan titik kesatuan Tao yang mirip dengan wahdatul wujud atau disebut sebagai “penyamaan” dan “penyetaraan” yang merujuk kepada kesatuan oleh Chuang tzu atau disebut sebagai t’ien nie (Heavenly Levelling) dan t’ien Chun (Heavenly Equalization)

Tuntasnya kedua-dua pemikir ini menghubungkan kajian keagamaan dalam perspektif kerohanian (sufisme) dan Taoism berdasarkan kajian dialog daripada Ibn Arabi dan Lao-Tzu.

Demikian, Tao adalah “jalan” yang merujuk Ibn Arabi adalah haqq. Dalam kajian lintas keagamaan itu, kita akan menemukan tentang kerahsiaan dan tanda-tanda kewujudan Tuhan yang misteri dengan mewajahkan maha Agung, melalui penyingkapan hubungan dengan alam semester dan manusia. Demikian Tuhan dikenali dengan jalan kearifan (jalan kerohanian dan hikmah)

Manusia Rohani

Dalam hadis terkenal, Nabi menjelaskan mengapa Allah menciptakan alam semesta. Allah berfirman: “Aku adalah khazanah tersembunyi dan Aku ingin diketahui. Kerana itu Aku menciptakan makhluk agar Aku dapat diketahui”.

Maka, dunia adalah tempat di mana Khazanah itu tersembunyi dan hanya diketahui dan dimanifestasikan oleh makhluk-Nya yang mempunyai jiwa universal yang patuh dan mencapai makrifat kepada-Nya.

Begitu Al-Quran disebut mengenai jalan mengenal-Nya, Allah berfirman (QS 51:56): “Allah ciptakan jin dan manusia hanyalah agar menyembah kepada-Ku semata”

Dalam ayat ini, sahabat Nabi iaitu Ibn Abbas menjelaskan bahawa lafaz “agar menyembah kepada-Ku semata” itu membawa maksud mengenal dan mengetahui diri-Ku.

Justeru, tafsiran kerohanian menurut ahli sufi, bahawa wujud Tuhan dapat dikenali melalui tanda-tanda kerahsiaan Tuhan yang dizahirkan melalui alam berserta penyingkapan diri manusia itu sendiri. Begitulah, melahirkan manusia rohani akan mencintai Tuhan sebagaimana ia mengenali jiwanya sendiri.

Hadis dan ayat Al-Quran ini seirama dengan Lao-Tzu yang menyebut “Barangsiapa mengenal yang lain bererti dia adalah orang yang cerdas, namun yang mengenali dirinya bererti dia adalah orang yang tercerahkan”.

Mungkin kurang tepat untuk menyamakan manusia rohani ini sebagai manusia sempurna. Kerana pengertian manusia sempurna atau insan kamil ini lebih tinggi darjatnya seumpama hanya layak dimiliki Nabi. Namun konteks perbincangan kita hanya merujuk manusia biasa yang mungkin sesuai dipakai hanya mencapai ketertinggian sebagai manusia rohani.

Namun kemustahilan itu tidak dibatasi. Ia boleh mencapai darjat yang lebih tinggi seumpama itu. Maka falsafah Taoism dan Ibn Arabi sememangnya mahu memberikan jalan laluan untuk mencapai tangga kerohanian paling tinggi itu. Ia tentang kesempurnaan kerohanian mencapai manusia sempurna.

Menurut Lao-Tzu, manusia sempurna itu merupakan personafikasi “jalan” itu sendiri. Ia menjadi sempurna lantaran menjadi (citra) atau imej personal dari “jalan” itu. Ia menyatu dan melebur dengan “jalan” tersebut.

Justeru, dengan disiplin kerohanian, ia dapat meleburkan ego dalam diri atau dalam bahasa sufi disebut fana’.

Setelah mencapai peringkat itu, tidak ada pertentangan antara dirinya dan “jalan” sekali gus mencapai kemuncak rohani. Lao-Tzu menyebut tahap ini sebagai mendakap Sang Esa (Embracing the One).

Menariknya di sini, konsep untuk mencapai manusia sempurna ini wujud dalam kedua-dua falsafah tradisi agama ini. Sudah tentu, mempunyai hikmah atau kebijakan tersembunyi dalam kedua-dua tradisi ini yang umat hari ini harus cari. Hikmah ini adalah rahsia kebijakan dalam kehidupan beragama bersama.

Membangunkan dialog agama

Lalu apakah yang kita boleh pelajari dari Tao ini?

Dengan membaca Tao, kita akan menemukan sesuatu keseimbangan yang sempurna iaitu keharmonian antara langit dan bumi. Keseimbangan ini merupakan daya kekuatan yang membentuk dan menggerakkan citra dan keindahan wujud Tuhan ke dalam pelbagai ranah kehidupan sekali gus dapat memanifestasikan cinta dan wujud-Nya.

Dalam bahasa Ibn Arabi ia disebut sebagai mumkinat dan Tao disebut dengan wan wu. Hal ini dapat melahirkan manusia rohani yang bertindak dalam setiap tindak lakunya mengikut acuan keagamaan yang damai, indah dan manusiawi-agama cinta lagi manusiawi.

Hal ini penting kerana dalam kehidupan dunia yang semakin marak dengan kebencian dan musnahnya kemanusiaan sejagat, ia begitu mustahak untuk menghidupkan semula falsafah kerohanian lintas keagamaan seperti falsafah Taoism.

Kebimbangan dan harapan ini diluahkan oleh Prof Osman Bakar di dalam kata pengantar buku Tao Te Ching ini agar masyarakat Melayu Islam dapat belajar dan mencari kebersamaan dalam tradisi keagamaan lain.

Begitu kita harus menggali dan menemukan titik temu atau kesamaan falsafah dalam tradisi kerohanian seterusnya dapat membangunkan aktiviti dialog antara Islam dengan peradaban Cina.

Maka, umat perlukan agama cinta nan damai, bukan saling pertentangan! – 25 Jun, 2021.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen