Fatwa tidak boleh berubah walaupun PAS kerajaan, kata pemimpin muda Amanah


Ahli Jawatankuasa Pemuda Amanah Nasional Sheikh Khuzaifah mengulas laporan media mengenai "kehilangan" fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung petikan ceramah Presiden PAS itu pada 1981, yang dikenali sebagai Amanat Haji Hadi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Jun, 2021.

FATWA terhadap amanat Presiden PAS Abdul Hadi Awang, yang dibuat empat dekad lalu, sepatutnya tidak berubah walaupun parti Islam itu sekarang sebahagian daripada kerajaan, kata seorang pemimpin muda Amanah.

Fatwa itu seharusnya kekal walaupun pemimpin PAS memegang jawatan agensi agama dalam kerajaan, kata Ahli Jawatankuasa Pemuda Amanah Nasional Sheikh Khuzaifah Sheik Abu Bakar.

“Keputusan (majlis fatwa kebangsaan) menolak fatwa Haji Hadi tersebut seharusnya kekal tidak berubah walaupun PAS kini berada dalam kerajaan dan memegang portfolio agama di Jabatan Perdana Menteri,” kata Ahli Jawatankuasa Pemuda Amanah Nasional Sheikh Khuzaifah Sheik Abu Bakar.

Sheikh Khuzaifah mengulas laporan media mengenai “kehilangan” fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung petikan ceramah Presiden PAS itu pada 1981, yang dikenali sebagai Amanat Haji Hadi.

Ketua Penolong Pengarah UKK Jakim, Zakaria Othman dipetik media berkata pihaknya akan menyemak dakwaan fatwa tersebut sudah “hilang” dari laman web jabatan itu, seperti didakwa oleh seorang pengguna Twitter.

Maklumat mengenai fatwa itu juga gagal dikesan semasa carian di laman webnya semalam.

Ketua penaja Pemuda Pejuang Abu Hafiz Salleh Hudin awal hari ini berkata pihak berkuasa agama tidak perlu terlalu lama untuk menyemak “kehilangan” fatwa itu.

Amanat Haji Hadi adalah petikan ucapan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang dibuat pada April 1981 dalam sebuah ceramah di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu.

Petikan ceramah itu kemudiannya disebar oleh penyokong PAS sebagai “Amanat Haji Hadi” dan kemudian menjadi asas konflik identiti Islam antara ahli PAS dan Umno.

Konflik itu berterusan selama berpuluh tahun sehinggalah dua parti Melayu itu memeterai kerjasama politik pada September 2019, selepas Barisan Nasional yang ditunjangi Umno kalah Pilihan Raya Umum ke-14.

“Fatwa Haji Hadi tersebut ternyata bercanggah dengan pendekatan dakwah Islamiah dan menggalakkan perpecahan dalam kalangan masyarakat melalui amalan politik ekstrem,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jelas Sheikh Khuzaifah, perbezaan pandangan mengenai politik tidak harus menyebabkan masyarakat berpecah, apalagi perpecahan itu atas garis iman dan kufur.

“Kegagalan menolak amanat tersebut bakal memberikan ruang yang subur untuk pemikiran ekstrimis seperti ISIS, Jamaah Islamiyyah dan sebagainya berkembang pula di Malaysia,” tambahnya.

Awal hari ini, dua bekas ahli muda PAS meminta pihak berkuasa agama telus dan memberi penjelasan mengenai kedudukan fatwa berkaitan amanat Presiden PAS Abdul Hadi Awang, yang semalam dilaporkan “hilang” daripada laman web Jakim.

Mereka berkata Jakim perlu menyiasat “kehilangan” itu dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang memadamkannya, jika ia dibuat tanpa kelulusan majlis fatwa kebangsaan. – 22 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen