Rakyat berhak dapat penjelasan, kata bekas ahli PAS


Presiden PAS Abdul Hadi Awang cabar Majlis Fatwa Kebangsaan keluarkan surat rasmi mengenai isu amanatnya yang difatwakan sebagai bercanggah dengan kepentingan masyarakat Islam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Jun, 2021.

PIHAK berkuasa agama harus telus dan memberi penjelasan mengenai kedudukan fatwa berkaitan amanat Presiden PAS Abdul Hadi Awang, yang semalam dilaporkan “hilang” daripada laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), kata beberapa pemimpin muda politik.

Jakim perlu menyiasat “kehilangan” itu dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang memadamkannya, jika ia dibuat tanpa kelulusan majlis fatwa kebangsaan, kata mereka.

Adun Paloh Sheikh Umar Bagharib Ali berkata sebagai bekas ahli PAS beliau mahu pihak berkuasa memberi penjelasan yang sewajarnya dengan segera.

“Sebagai seorang bekas ahli PAS yang pernah didoktrin dengan ‘Amanat Hadi’ untuk menjustifikasi perlawanan dengan Umno, perkara seumpama ini pastinya membuatkan saya tertunggu-tunggu ulasan rasmi dari Jakim.

“Bahkan, Majlis Fatwa Kebangsaan serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama sepatutnya turut memberikan penjelasan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang kini naib pengerusi DAP Johor berkata penjelasan itu penting setelah PAS berbeza sikap dalam beberapa isu yang diperjuangkannya sebelum ini apabila sudah bekerjasama dengan Umno dan bersama membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Rakyat berhak diberi penjelasan.

“Bahkan ahli PAS, bekas ahli serta mereka yang pernah menerima tarbiyah PAS juga seharusnya mendapat penjelasan berkaitan duduk letaknya perkara ini bagi mengelakkan kekeliruan,” tambahnya.

Media semalam melaporkan Jakim akan menyiasat dakwaan pihaknya sudah memadam fatwa Amanat Haji Hadi daripada laman web jabatan itu, seperti yang didakwa oleh seorang pengguna Twitter.

Maklumat mengenai fatwa itu juga gagal dikesan semasa carian di laman webnya semalam.

Amanat Haji Hadi merujuk kepada petikan ceramah Hadi di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada April 1981, yang kemudiannya menjadi asas konflik identiti Islam antara ahli PAS dan Umno.

Petikan ceramah itu juga dilaporkan dalam Kertas Putih kerajaan sebagai antara faktor yang membawa kepada meletusnya insiden berdarah di Memali, Kedah pada November 1985.

Sepanjang empat dekad lalu, Hadi mempertahankan inti pati ceramahnya dan menegaskan beliau tidak mengkafirkan Umno sebaliknya hanya bercakap mengenai hal yang jelas dalam hukum Islam.

Beliau malah pernah memohon slot khas di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) untuk menjelaskan apa yang beliau sifatkan sebagai kekeliruan mengenai ucapannya dulu.

Sementara itu, seorang lagi bekas ahli PAS Faiz Fadzil berkata fatwa mengenai Amanat Haji Hadi tidak pernah dibatalkan oleh majlis fatwa kebangsaan.

Malah sekiranya dibatalkan pun ia seharusnya tidak boleh dipadam, tambahnya.

“Jika suatu hari, majlis fatwa kebangsaan membatalkan fatwa ini, rekod ini masih wujud tetapi dengan tandaan ‘telah dibatalkan’ kerana rekod kekal rekod.

“Jelas ia satu perbuatan salah guna kuasa oleh individu terlibat dan merendah-rendahkan kesucian majlis fatwa kebangsaan seolah-olah tiada integriti,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ahli Jawatankuasa Amanah Nasional itu juga mengingatkan Hadi tidak pernah menarik balik amanatnya dan oleh itu, fatwa politiknya itu kekal.

“Walaupun tindakan beliau bersama dengan Umno sekarang dalam kerajaan merupakan satu tindakan flip flop namun fatwa mengkafirkan Umno masih kekal,” katanya.

Anak bekas presiden PAS Fadzil Noor itu turut menggesa Hadi supaya menjelaskan kepada umum sama ada beliau masih berpegang kepada amanatnya atau mahu menarik balik, sesuai dengan fatwa yang dikeluarkan bertahun-tahun sebelum ini.

Pada 2013, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia berpendirian PAS bertanggungjawab untuk membersihkan kekeliruan hukum berhubung Amanat Haji Hadi.

Hadi ketika itu mencabar Majlis Fatwa Kebangsaan supaya mengeluarkan surat rasmi mengenai isu amanatnya yang difatwakan sebagai bercanggah dengan kepentingan masyarakat Islam, kemuliaan agama serta prinsip dakwah Islamiah.

Menurut fatwa itu, tuduhan kafir-mengkafir sesama umat Islam, yang berlaku sejak dekad 1980-an, adalah tidak benar dan sia-sia. – 22 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen