Pakej bantuan terbaru hanya penyelesaian ‘sementara’, kata pakar ekonomi


Chan Kok Leong

Jalan raya di sekitar pusat bandar ibu kota Kuala Lumpur lengang susulan PKP penuh dikuatkuasakan hingga 14 Jun bagi menangani gelombang ketiga pandemik Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 2 Jun, 2021.

INSENTIF Pemerkasa Plus yang diumumkan kerajaan pada Isnin nampaknya hanya penyelesaian sementara yang tidak menyelesaikan masalah berpunca daripada perintah sekatan pergerakan Covid-19, kata pakar ekonomi.

Bekas pegawai Kementerian Kewangan yang juga felo pelawat Penyelidikan untuk Kemajuan Sosial (Refsa) Hafiz Noor Shams menyifatkan pakej dilancarkan susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh dari 1 Jun hingga 14 Jun itu sebagai “kurang memuaskan”.

“Kerajaan berkata program itu bernilai RM40 bilion, dengan kira-kira RM5 bilion membabitkan perbelanjaan sebenar kerajaan.

“Selebihnya hanya pengecualian  atau penangguhan, dengan moratorium bayaran semula pinjaman adalah jumlah terbesar, ditanggung oleh pihak lain.

“Penyelesaian sementara bukan apa yang kita perlukan. Malaysia perlukan program komprehensif baharu, untuk berdepan masalah dihadapi secara kolektif,” kata Hafiz.

Pensyarah ekonomi Universiti Teknologi Mara (Sabah) Firdausi Suffian berkata sebahagian isu lebih besar ialah berkenaan pengangguran, yang akan melonjak apabila perintah sekatan pergerakan dikuatkuasakan.

Katanya, walaupun ada elaun diberikan kepada sektor ekonomi kali ini berbanding PKP tahun lalu, tetapi prosedur operasi standard (SOP) masih ketat.

“Oleh itu, dijangkakan pengangguran akan meningkat lagi kerana jumlah perniagaan dan masa operasi sangat terhad.

“Bayangkan sektor pelancongan dan sektor perkhidmatan tidak penting yang lain. Untuk menangani masalah ini, kerajaan perlu beri program subsidi gaji secara sementara untuk membendung masalah itu, tetapi itu pun hanya langkah sementara.”

Firdausi berkata sektor tidak rasmi seperti pertanian akan berdepan tekanan terbesar kerana ramai pekerja tidak dilindungi dengan subsidi gaji atau skim insurans pengangguran.

“Perintah berkurung untuk mereka bermakna mereka berdepan kesukaran mendapatkan makanan untuk keluarga.”

Firdausi berkata ekonomi akan mengambil masa panjang untuk berkembang kembali kerana tidak wujud butang “buka-tutup”.

“Berdasarkan kepada data sebelum ini, masa tujuh hingga lapan bulan diperlukan sebelum ekonomi dapat mencapai keadaan yang diharapkan.”

Bagi menangani masalah jangka panjang dan melihat kepada keterdesakan keadaan, Hafiz berkata kerajaan sepatutnya sedia untuk melihat defisit kewangan lebih besar.

“Kerajaan akan perlu meningkatkan perbelanjaannya dengan menaikkan ratio defisit daripada kira-kira 6% daripada KDNK 2021 pada masa ini kepada 9%-10% atau lebih tinggi, sementara membuat semua perubahan undang-undang.

“Kita perlu apa saja yang perlu untuk menyelesaikan krisis ini secepat mungkin,” katanya. – 2 Jun, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen