Kerajaan punca doktor lambat bantu vaksinasi Covid-19, kata MMA


Warga emas sedang menunggu giliran untuk diberi suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 1 Jun, 2021.

PENGAMAL perubatan am swasta (GP) telah bersedia membantu memberikan vaksin Covid-19 sejak awal Mei lagi namun mendapati ada beberapa perkara yang menghindari mereka, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presidennya Dr Subramaniam Muniandy mempersoalkan kelewatan Kementerian Kesihatan dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), dengan berkata ia telah mengirim surat kepada Khairy Jamaluddin pada 2 Mac mengenai perkara tersebut, namun tidak dibalas.

“Putrajaya sepatitnya mendapatkan bantuan doktor swasta untuk memberikan vaksin lebih cepat, dan bukannya menunggu jumlah kes dan kematian Covid-19 meningkat.

“Tidak ada komunikasi rasmi dari JKJAV malah sampai sekarang. Menteri tak tunjuk minat untuk terlibat dengan GP,” katanya, merujuk kepada Khairy yang merupakan menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Sekarang, apabila kes Covid-19 dan kematian meningkat, barulah ada perbincangan mengenai GP. Di mana KKM dan JKJAV bulan lepas? Atau adakah kita kena ikut tradisi, tunggu sampai membusuk kemudian baru bertindak?” kata Dr Subramaniam dalam satu kenyataan.

Khairy bolah sahaja adakan mesyuarat Zoom dengan para GP, ​​sama seperti dibuatnya setiap minggu dengan media untuk beri maklumat terkini perkembangan PICK, tambah ketua MMA itu.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada menteri sains, teknologi dan inovasi itu semalam yang berkata daripada lebih 7,000 klinik GP, hanya sekitar 2,000 sahaja yang mendaftar untuk ambil bahagian dalam pemberian vaksin Covid-19.

Khairy turut berkata surat janji temu telah dikirim ke 1,482 klinik GP dan 1,000 akan dijadikan pusat vaksinasi pada 30 Jun.

Dr Subramaniam berkata walaupun hanya 2,500 GP mendaftar, mereka dijangka dapat memberikan 75,000 vaksinasi setiap hari.

Klinik GP sumber terbaik, termudah dan mudah didapati untuk mempercepat program vaksinasi, tambahnya.

Beliau turut membalas kenyataan Khairy bahawa latihan diperlukan oleh doktor untuk menguruskan suntikan, dengan berkata mereka cukup berpengalaman dan hanya perlu dikemas kini mengenai logistik penyimpanan vaksin.

“Kebanyakannya bergantung pada keperluan rangkaian sejuk untuk penyimpanan vaksin dan prosedur pentadbiran. Tidak ada yang benar-benar teknikal atau saintifik.

“Latihan ini dibuat secara dalam talian dan hanya perlu 2-3 jam untuk disiapkan. Walaupun menggunakan picagari ‘khas’ namun tidaklah rumit. Mereka perlu beri kepercayaan doktor untuk mengendalikannya,” katanya.

Tambah Dr Subramaniam, keterlibatan doktor yang lewat dan program imunisasi yang perlahan adalah punca kenapa setelah banyak perintah pergerakan, Malaysia masih gagal menurunkan jumlah jangkitan Covid-19.

“Dasar-dasar diputuskan dalam gua, dengan hampir tidak ada perbincangan dengan pihak berkepentingan. Inilah kisah sejak hari pertama pandemik ini.”

Sehingga semalam, 1,944,458 rakyat telah divaksinasi. Ini termasuk mereka yang telah menerima suntikan pertama dan kedua.

Malaysia mencatatkan 6,824 kes baharu semalam, menjadikan jumlah keseluruhan 79,523, cuma 477 lagi akan cecah 80,000. – 1 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen