Bukan semua doktor mahu ikut serta kempen vaksinasi, kata Khairy


Ravin Palanisamy

Hanya sekitar 2,000 sahaja yang mendaftar untuk membantu memberikan vaksin kepada rakyat, kata Khairy. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mei, 2021.

TIDAK semua pengamal perubatan am (GP) di negara ini mahu turut serta dalam usaha pemberian vaksin Covid-19, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri penyelaras kempen vaksinasi kebangsaan itu berkata daripada lebih 7,000 klinik GP, hanya sekitar 2,000 sahaja yang mendaftar.

“Setakat ini, hanya 2,467 yang mendaftar. Bukan semua 7,000.

“Kami telah kirim surat janji temu ke 1,482 klinik GP dan mereka boleh berikan vaksin,” kata Khairy pada sidang media mingguannya dengan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba mengenai usaha inokulasi.

Khairy berkata demikian menjawab soalan mengapa tidak semua 7,000 GP dipilih untuk memberikan vaksin.

Beliau turut berkata GP perlu mendaftar dan menjalani latihan dengan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd.

Walaupun sudah menjadi rutin bagi beberapa GP memberikan vaksin, beliau berkata vaksin Covid-19 berbeza dan perlukan latihan.

“Vaksinasi sebelum ini adalah rutin tetapi latihan diperlukan (untuk ini) sebab kita harus memberi latihan asas penyimpanan, menguruskan vaksin, yang sedikit berbeza kerana menggunakan jarum suntik dan keperluan lain,” katanya, sambil menambah seramai 1,665 GP telah mengikuti latihan.

Khairy, yang merupakan menteri sains, teknologi dan inovasi juga menambah, tidak semua GP sekarang bersedia dengan penyimpanan rantaian sejuk untuk vaksin.

“Mereka yang ada persediaan lengkap dari segi rantaian sejuk hanya 720.

“Ini penting kerana beberapa GP tidak mempunyai data logger di dalam peti sejuk untuk menjaga dan memantau suhu,” katanya.

Semalam Kahiry berkata, 1,000 klinik akan menjadi pusat vaksinasi bermula 30 Jun.

Katanya GP tidak boleh ditekan untuk beroperasi lebih awal kerana vaksin tidak cukup sehingga bekalan ditambah Jun ini.

Minggu lalu, Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) menyeru diadakan ujian saringan Covid-19 besar-besaran di semua klinik awam dan swasta di seluruh negara. – 31 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • This guy is bluffing around, trying to save his skin by wanting to keep the monopoly for dispensing the vaccines and no others.

    Dimuat naik 2 tahun yang lalu oleh Anwar Ismail · Ulasan