Orang Asli Mah Meri diminta kosongkan tanah untuk projek pelancongan


Raevathi Supramaniam

Kawasan didiami suku Mah Meri dari Kampung Orang Asli Bagan Lalang akan menjadi sebahagian daripada destinasi pelancongan di bawah projek pembangunan Sepang GoldCoast. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mei, 2021.

KAWASAN didiami suku Mah Meri dari Kampung Orang Asli Bagan Lalang diarah untuk dikosongkan untuk dijadikan sebahagian daripada destinasi pelancongan masa depan di bawah projek pembangunan Sepang GoldCoast, kata Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB).

Kampung berkenaan berdekatan kawasan pantai yang menghadap Selat Melaka, sementara Avani Sepang Gold Coast Resort terletak tidak jauh dari hotel.

“Rancangannya adalah untuk membangunkan kawasan pelancongan oleh Sepang Bay Sdn Bhd sebagai sebahagian daripada projek pembangunan Sepang GoldCoast,” kata syarikat itu kepada The Malaysian Insight sebagai respons kepada laporan mengenai notis pengusiran yang diberi kepada lebih 30 Orang Asli di kampung itu.

PNSB juga berkata rayuan Orang Asli untuk melanjutkan pengusiran mereka terletak di tangan pejabat tanah dan daerah Sepang. Kedua-duanya adalah pemilik tanah berkenaan.

Pada 20 April, 36 Orang Asli daripada 12 keluarga di kampung itu diberikan notis pengusiran. Mereka perlu mengosongkan tanah itu dalam masa 30 hari dari tarikh notis.

Tanah tersebut mula didiami Orang Asli dari kawasan lain sekitar 20 tahun lalu. Mengakui penghuni setinggan di tanah itu, mereka meminta sedikit tempoh, dengan berkata tidak dibawa berbincang sebelum menerima notis pengusiran, dan juga tidak mempunyai pilihan untuk penempatan semula.

“PNSB pada prinsipnya boleh mempertimbangkan permintaan untuk lanjutan notis pengusiran kerana tarikh yang dinyatakan pada notis itu bukanlah tempoh akhir untuk merobohkan kawasan, tetapi untuk memberitahu penduduk kampung yang mereka menceroboh tanah kami.

“Namun, semua keputusan (berkaitan lanjutan) akan ditentukan oleh pejabat tanah dan daerah Sepang,” kata syarikat itu.

PNSB juga mengesahkan pihaknya menerima surat penduduk kampung untuk meminta tempoh lanjutan, daripada Taha Bin Akhir, Tok Batin dari Kampung Orang Asli Bukit Bangkung yang juga menjaga Kampung Bagan Lalang.

Taha berkata bulan puasa, Hari Raya yang bakal menjelang, pandemik Covid-19 dan hakikat penduduk kampung tiada tempat untuk berpindah, sebagai alasan untuk dipertimbangkan lanjutan notis.

Walaupun penduduk kampung tidak diberitahu rancangan untuk tanah tersebut, PNSB berkata syarikat ingin membangunkannya bagi tujuan pelancongan.

Menurut laman webnya, projek pembangunan Sepang GoldCoast mempunyai nilai pembangunan kasar sebanyak RM1 bilion.

Fasa pertama projek dimulakan dengan pembinaan resort Avani. Fasa kedua melibatkan rancangan pembangunan yang dikenali sebagai D’Festival dan Laguna Villa.

D’Festival melibatkan pembangunan komersial bercampur untuk resort kediaman, perniagaan dan hiburan sementara Laguna Villa akan menampilkan resort laguna yang dibuat dengan teknologi yang mampan.

Notis pengusiran dari jabatan perundangan PNSB menyatakan Plot No 69, HS (D) 18372, PT 5249, Plot No 70, HS (D) 18373, PT 5250, HS (D) 37248 dan PT 9925 adalah milik syarikat.

“Secara keseluruhannya, PNSB memiliki 167.61 ekar tanah sementara pejabat tanah dan daerah memiliki satu hektar tanah berhampiran bangunan Pasukan Gerakan Am (GOF) di kampung,” katanya. – 14 Mei, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen