Esok masih ada matahari untuk Amanah Johor, kata Salahuddin Ayub


Radzi Razak Mohd Farhan Darwis

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata beliau menghormati Amanah Johor yang meluahkan rasa tidak puas hati dan tiada tindakan dikenakan terhadap mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Januari, 2018.

DAPAT hanya dua kerusi Parlimen di Johor bukan bermakna Amanah akan hilang di negeri itu, kata timbalan presiden parti itu, Salahuddin Ayub.

Amanah sebaliknya akan dapat lebih banyak kerusi negeri di Johor, katanya yang juga pengarah pilihan raya Pakatan Harapan (PH) Johor.

“Sebagai pemimpin nasional kita melihat gambaran besar untuk PH. Saya dan pemimpin tertinggi Amanah dan Pakatan perlu mengambil risiko apa yang berlaku selepas mesyuarat (rundingan kerusi).

“Di Johor, angkanya begitu kecil dan kami rela bekerja untuk kerusi negeri.

“Mentari masih bersinar esok. Kita akan dapat lebih kerusi peringkat negeri untuk meneruskan kerja parti,” katanya kepada wartawan di Konvensyen PH di Shah Alam hari ini.

Salahuddin mengulas tindakan boikot yang dilakukan oleh pimpinan Amanah Johor sebagai membantah pembahagian kerusi Parlimen yang akan ditandingi oleh PH di negeri itu.

Pengerusi Amanah Johor Amiroulhuda Hassan hari ini berkata pihaknya hanya diberikan dua kerusi berbanding lima yang dicadangkan, daripada keseluruhan 26 kerusi bagi kawasan Parlimen.

The Malaysian Insight difahamkan Bersatu akan bertanding 10 kerusi di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti, sementara PKR 8 dan DAP 6.

Salahuddin berkata beliau menghormati mereka yang meluahkan rasa tidak puas hati itu dan berkata tindakan tidak akan diambil terhadap mereka.

Ditanya apakah tindakan itu melanggar konsensus yang dicapai oleh PH, Salahuddin berkata beliau ada pandangan yang berbeza.

“Ia perkara biasa. Ini bukan hari pertama kami dalam politik. Tiada tindakan terhadap perkara ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden Amanah Mohamad Sabu juga menganggap bantahan ini sebagai perkara biasa.

“Ini gaduh pasal kerusi, biasalah,” katanya.

Setiausaha Agung Amanah Anuar Tahir pula menafikan terdapat “boikot” sebaliknya sesetengah pimpinan Amanah negeri hanya “tidak hadir.”

“Khabar anginnya mereka tidak gembira sangat. Tapi kadang-kadang dalam perbincangan kerusi, kita tak boleh dapat apa yang kita minta.

“Saya tahu mereka bekerja keras dan jawatankuasa pusat akan bertemu mereka. Saya akan bercakap dengan Mat (Mohammad) Sabu dan tentukan tarikh pertemuan.

“Ia bukan perkara besar dan boleh diselesaikan,” katanya.

Selain pimpinan Amanah Johor, The Malaysian Insight difahamkan beberapa pimpinan parti di negeri lain juga tidak berpuas hati dengan jumlah kerusi Parlimen yang diberikan kepada parti itu, antaranya Perak.

Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi mengesahkan kepada The Malaysian Insight beliau tidak hadir ke konvensyen PH di Shah Alam hari ini.

“Saya sendiri tak datang kerana pembahagian kerusi, tetapi orang lain (dari Amanah Perak) datang,” katanya. – 7 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen