Amanah Johor boikot konvensyen Pakatan


Yeoh Cheong Ee Ikhwan Zulkaflee

AMANAH Johor memboikot Konvensyen Pakatan Harapan (PH) hari ini kerana tidak puas hati dengan pembahagian kerusi Parlimen di Johor antara parti-parti dalam gabungan pembangkang itu, kata Pengerusi Amanah Johor Amiroulhuda Hassan.

Tindakan itu diambil setelah Amanah Johor hanya diberikan dua kerusi Parlimen saja untuk ditandingi di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti, katanya.

“Kita minta lima kerusi Parlimen tapi dapat dua kerusi, Parit Sulong dan Pulai saja.

“Kita ingat tak payah datang. Semua pemimpin Amanah Johor tak datang,” katanya ketika dihubungi melalui telefon.

Johor mempunyai 26 kawasan Parlimen.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight rundingan pengagihan kerusi PH yang selesai malam tadi memutuskan Bersatu bertanding 10 kerusi Parlimen di Johor, PKR 8, DAP 6 dan Amanah 2.

Sumber sebelum itu memberitahu arahan memulaukan konvensyen itu sudah dikeluarkan oleh pimpinan Amanah negeri kepada semua perwakilan parti.

“Kita nak setimpal seperti apa yang komponen lain terima. Kita sama-sama bangunkan PH di Johor ini dan hubungan ini bermula telah lama dulu sejak Pakatan Rakyat lagi.

“Kita juga berkorban dengan meninggalkan PAS dan menubuhkan Amanah demi bersama PH. Jadi sekurang-kurangnya kita mahukan angka yang setimpal dan seimbang dengan rakan komponen lain.

“Kita bukan minta banyak kerusi, cuma lima. Tapi akhirnya dapat dua saja. Itu yang kita tak puas hati,” kata seorang pimpinan Amanah negeri kepada The Malaysian Insight dengan syarat identitinya dirahsiakan.

PH memuktamadkan pembahagian kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia malam tadi dalam rundingan yang selesai lebih kurang 8.30 malam tadi.

Rundingan itu juga sepakat menamakan pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri PH, sekiranya gabungan itu menang PRU14.

Sementara itu, The Malaysian Insight difahamkan beberapa pimpinan Amanah di negeri lain juga tidak berpuas hati dengan jumlah kerusi Parlimen yang diberikan kepada parti itu, antaranya Perak.

Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi mengesahkan kepada The Malaysian Insight beliau tidak hadir ke konvensyen PH di Shah Alam hari ini.

“Saya sendiri tak datang kerana pembahagian kerusi, tetapi orang lain (dari Amanah Perak) datang,” katanya.

Presiden Amanah Mohamad Sabu yang ditanya tentang tindakan boikot itu berkata beliau tidak maklum mengenainya, dan menyifatkan bantahan berhubung pengagihan kerusi sebagai “perkara biasa.” – 7 Januari, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen