Tiada apa salah dalam rakaman audio 'Zahid-Anwar', kata Anwar


Alfian Z.M. Tahir

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata kandungan perbualan audio yang didakwa melibatkan beliau dan Ahmad Zahid Hamidi itu tidak mempunyai sebarang unsur jenayah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 April, 2021.

ANWAR Ibrahim hari ini berkata tiada apa yang salah dengan perbualan dalam rakaman audio yang bocor, kononnya membabitkan beliau dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Walaupun presiden PKR itu sebelum ini menafikan kesahihan klip berkenaan, beliau hari ini berkata kandungan perbualan itu tidak mempunyai unsur jenayah.

“Jika ia benar, apa salahnya dengan perbualan itu? Apakah ada unsur jenayah atau ia satu kesalahan?” kata Anwar semasa forum dalam talian yang dianjurkan oleh Majlis Profesor Negara.

“Tiada apa yang salah dengan audio itu,” katanya kepada Profesor Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Mohamad Agus Yusof yang menemu ramahnya.

Anwar juga tidak membantah atau mengaku sebagai satu daripada suara yang berada dalam rakaman audio itu.

Ahli Parlimen Port Dickson dan ketua pembangkang itu menafikan pembabitannya dalam rakaman tersebut dua hari lalu.

Namun, beliau berkata belum membuat laporan polis kerana baru pulang dari kawasan Parlimennya.

Zahid juga menafikan rakaman audio tersebut dan menyifatkannya sebagai usaha untuk menghancurkan Umno.

Dalam rakaman perbualan itu, suara - kononnya Zahid dan Anwar - membincangkan keputusan perhimpunan agung Umno baru-baru ini yang menyaksikan parti itu memutuskan hubungan dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

Sebelum perhimpunan Umno, Anwar mendedahkan beliau mengadakan perbincangan awal dengan pemimpin Umno mengenai kemungkinan kerjasama dengan PKR pada PRU15, tetapi menegaskan ia belum dimuktamadkan.

Bagaimanapun semasa perhimpunan, Zahid mengesahkan pendirian Umno untuk tidak bekerjasama dengan PKR, DAP atau Bersatu.

Presiden Umno kini berdepan desakan untuk mengundurkan diri ketika parti itu berpecah antara mereka yang mahu terus bekerjasama dengan Bersatu dan PN atau menolak.

Anwar hari ini turut berkata rakaman itu dikeluarkan untuk menarik perhatian orang ramai daripada isu sebenar seperti pengisytiharan darurat dan tuduhan rasuah membabitkan kerajaan PN.

“Itu bermotifkan politik dan dibuat untuk mengalihkan daripada isu sebenar, seperti penggantungan Parlimen dan rasuah.

“Mengapa tiada yang bersuara apabila ahli Parlimen dibeli untuk bertukar parti,” katanya.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mendesak Zahid dan Anwar untuk membuat laporan jika mereka berasa difitnah berhubung rakaman audio tersebut.

Polis menerima tujuh laporan daripada pelbagai pihak mengenai perkara itu setakat ini tetapi tiada yang dibuat oleh kedua-dua pemimpin politik atau wakil mereka. – 10 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen