Zahid nafi perbualan telefon dengan Anwar


Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan pegawainya buat laporan polis supaya percaturan politik jahat mahu memusnahkan Umno disiasat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 April, 2021.

AHMAD ZAHID HAMIDI menafikan beliau ada berbual dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim selepas perhimpunan agung Umno baru-baru ini, yang rakaman didakwa perbualan itu tersebar melalui media sosial sejak malam tadi.

Katanya, penyebaran rakaman itu satu percaturan politik untuk menghancurkan Umno.

“Saya amat kecewa dan terkejut mengenai penyebaran audio yang kononnya merakamkan perbualan antara saya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya mengenai adanya perbualan sebagaimana dalam audio rakaman tersebut, malah ingin ditegaskan tiada sebarang perbualan antara saya dengan Datuk Seri Anwar selepas Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.

“Ini merupakan satu percaturan politik yang jahat dan jijik yang hanya mengesahkan usaha berterusan untuk melemahkan dan menghancurkan Umno,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zahid percaya akan ada banyak lagi “permainan keji” seperti ini bertujuan  untuk terus meremeh dan memusnahkan Umno.

Katanya, beliau tidak akan mencabuli keputusan yang dibuat oleh parti antaranya untuk tidak bekerjasama dengan PKR dan Anwar.

“Sebagai presiden Umno, saya tidak akan sesekali mencabuli apatah lagi membelakangi apa jua ketetapan yang telah diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi Umno dan Perhimpunan Agung Umno.

“Saya telah mengarahkan pegawai saya untuk segera membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dilakukan untuk mengenal pasti dalang ‘scheme of thing’ ini,” katanya. 

Kenyataan Ahmad Zahid menyusul rakaman audio yang dikatakan perbualan telefon antara beliau dan Anwar mengenai keputusan Perhimpunan Agung Umno 2020, yang berlangsung pada 28 Mac lalu.

Dalam perbualan telefon itu, suara mirip Anwar didengar memuji Zahid atas ucapannya di perhimpunan agung itu.

Dalam ucapan penggulungannya, Zahid menegaskan pendirian Umno untuk tidak bekerjasama dengan PKR, DAP dan Bersatu.

Beliau juga mendapatkan mandat daripada perwakilan untuk Majlis Kerja Tertinggi menentukan tempoh yang sesuai bagi Umno menarik balik sokongan kepada kerajaan Muhyiddin Yassin.

Rakaman perbualan itu membayangkan wujud usaha dan percaturan kuasa antara Zahid dan Anwar untuk menjatuhkan kerajaan Muhyiddin yang dikatakan sudah hilang majoriti di Dewan Rakyat.

Zahid sebelum ini turut menafikan beliau menandatangani surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyokong Anwar sebagai perdana menteri walaupun beberapa pihak mendakwa surat itu bukan palsu. – 7 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen