Umno perlukan PAS untuk menang PRU15, kata penganalisis


Chan Kok Leong

Jika PAS tidak meninggalkan Bersatu, Umno masih tidak akan meletakkan calon di kerusi ditandingi PAS, kecuali di Terengganu dan Kelantan, kata penganalisis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mac, 2021.

UMNO tidak mampu menangi pilihan raya umum ke-15 tanpa PAS, kata penganalisis.

“Kajian pada November menunjukkan Umno, PAS dan Bersatu bersama-sama mendapat 84% sokongan.

“Umno tidak mampu untuk berdiri sendiri dan perlu bergantung kepada PAS bagi mempertahankan kerusinya yang sedia ada,” kata penganalisis Universiti Utara Malaysia Dr Kamarul Zaman Yusoff kepada The Malaysian Insight.

“Umno cuba sedaya upaya bagi memastikan PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kekal bersama mereka pada pilihan raya akan datang.

“Sekiranya PAS tidak meninggalkan Bersatu, Umno masih tidak akan meletakkan calon di kerusi yang ditandingi PAS, kecuali di Terengganu dan Kelantan, jadi kemungkinan untuk Umno bekerjasama dengan PAS selepas PRU15 masih terbuka,” kata pensyarah pengajian antarabangsa itu.

Beliau berkata ucapan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2020 menunjukkan Barisan Nasional masih mahu bekerjasama dengan parti lain selepas pilihan raya.

“Ini adalah pengakuan bahawa BN sendiri, tidak dapat memenangi PRU15,” kata Kamarul.

Walaupun Umno memenangi 54 kerusi pada PRU14, kini ia berkurang kepada 35 selepas ada yang melompat ke Bersatu dan satu kematian manakala PAS mempunyai 18 kerusi. Bersatu yang hanya mempunyai 13 ketika itu kini mempunyai 31 kerusi.

Umno + PAS + Bersatu = kejayaan

Formula terkini Umno, PAS dan Bersatu boleh memberi 90% daripada 120 kerusi majoriti Melayu di Semenanjung Malaysia, kata penganalisis dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Lau Zhe Wei.

“Lebih 110 daripada 165 kerusi di Semenanjung Malaysia adalah kerusi majoriti Melayu. Selagi kerusi itu 60% dan ke atas adalah pengundi Melayu. kombinasi ini akan menang,” kata Lau.

Dan sekiranya PAS meninggalkan Bersatu untuk Umno, kata Lau, kombinasi ini akan memenangi kerusi majoriti Melayu terbanyak.

“Bersatu sendiri tidak mempunyai jentera atau akar umbi yang kuat, tidak seperti Umno dan PAS. Tambahan pula, pertindihan kerusi antara Umno dan PAS secara relatifnya boleh dilaksanakan,” kata pensyarah sains politik itu.

Namun sekiranya Umno mahu meninggalkan PAS dan Bersatu, ia hanya akan kembali kepada status quo, kata Lau.

“Umno dan PAS akan dapat kembali perkongsian undi mereka. Namun saya tidak dapat melihat bagaimana Bersatu akan mendapat banyak undi sekiranya bertanding sendiri.

“Dengan Bersatu sekarang, saya tidak nampak sebarang kelebihan kepada parti itu. Saya boleh katakan pecahan undi akan sama seperti pilihan raya 2018 untuk Umno dan PAS kerana Bersatu tidak boleh diketepikan,” kata Lau. – 31 Mac, 2021.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen