Putrajaya haram buku kerana ingin 'monopoli agama', kata Zaid Ibrahim


Bede Hong Liow Sze Xian

Zaid Ibrahim yakin tindakan pengharaman beberapa buah buku agama mempunyai kaitan dengan keperluan pihak institusi agama dalam melindungi kepentingan mereka sendiri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 4 Januari, 2018.

PENGHARAMAN terhadap beberapa buah buku Islam baru-baru ini disebabkan birokrat yang ingin mengekalkan “monopoli” terhadap agama bagi melindungi kepentingan mereka, kata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Zaid Ibrahim.

Salah satu judul yang diharamkan adalah buku tulisannya Assalamualaikum: Observations on the Islamisation of Malaysia.

Menurut pemimpin DAP itu, Putrajaya mahu “memonopoli” agama dan menunjukkan kerajaan juga akan menentang sebarang cabaran terhadap monopoli tersebut.

Beliau memberi contoh operasi institusi Islam seperti Jabatan Agama Selangor (Jais) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempunyai bajet yang besar.

“Institusi Islam di negara ini mempunyai banyak duit dan apabila anda mempunyai banyak duit, anda mempunyai ramai pegawai dan pengarah.

“Anda mempunyai banyak imbuhan. Anda perlu mempertahankan semua perkara ini. Anda mempunyai kepentingan untuk memastikan ia berterusan dan memastikan orang lain tidak bercakap mengenainya,” kata Zaid kepada The Malaysian Insight.

Beliau juga menggambarkan pengharaman terhadap beberapa buku Islam tertentu sebagai satu petanda yang kerajaan ingin mengekalkan monopoli mengenai isu berkaitan Islam.

“Mereka akan mengatakan Islam terancam. Bukan Islam yang terancam. Sebaliknya, bajet mereka yang terancam,” katanya.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Alwi Ibrahim, pada tahun lepas, mengumumkan 22 penerbitan diharamkan di Malaysia kerana kandungannya yang boleh memudaratkan ketenteraman awam, menggemparkan orang ramai, melanggar undang-undang sedia ada, memudaratkan moral dan kepentingan awam.

Antara penerbitan yang diharamkan ialah 10 terjemahan al-Quran dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Cina, dan Korea kerana dicetak tanpa ayat asal dalam bahasa Arab.

Alwi berkata dalam satu kenyataan yang penerbitan tersebut dilihat boleh memudaratkan atau mengelirukan pembaca terutamanya generasi muda dan tidak sesuai untuk dijadikan bahan bacaan umum.

Zaid berkata: “Islam sangat mudah, tetapi birokrat mahu menjadikanya susah.

“Parti politik juga mahu masuk campur dalam hal ini. Jadi, mereka memonopoli agama. Jadi, ahli politik dan birokrat ingin memonopoli produk ini yang dipanggil Islam. Mereka tidak mahu orang lain bercakap mengenainya. Jadi, mereka mengharamkan buku untuk melindungi kepentingan mereka.

“Jika anda lihat di Malaysia, terdapat tandanya di sini. Anda mengusir penceramah atau pengajar yang menghadiri forum. Bukan itu sahaja, anda mempunyai institut penyelidikan dengan orang yang sepatutnya berminat dengan ilmu pengetahuan dan mereka adalah orang yang mengatakan kita harus menangkap pengajar dan golongan liberal.”

Pada 3 Oktober, kementerian itu juga mengumumkan pengharaman lima buku penulis Turki Mustafa Akyol, dan dua rakyat Malaysia – Ahmad Farouk Musa dan Faisal Tehrani.

Zaid, yang meletakkan jawatan daripada kerajaan Barisan Nasional pada 2008, berkata larangan itu menunjukkan “trend” yang berterusan.

“Ia adalah satu perkembangan yang sangat malang. Ia membimbangkan. Kami ada orang yang takut dengan idea. Orang-orang ini berbahaya.

“Kami tidak bercakap hal kerohanian di sini. Kerana kerohanian adalah sesuatu yang tidak dapat diukur. Tetapi orang-orang ini berkelakuan seperti mereka jurucakap Tuhan.

“Ini adalah tanda sesuatu yang buruk akan berlaku apabila anda mula mengharamkan buku.”

Zaid turut mempertahankan bukunya sendiri, yang diharamkan bulan lalu.

“Buku itu tidak kira apa-apa yang sukar. Ini mengenai dasar awam. Itulah cara mereka membawa agama ke dalam politik dan kesannya. Ia tidak sepatutnya sensitif atau memudaratkan ketenteraman awam.”

Pada 19 Disember, KDN mengharamkan buku Zaid, “Assalamualaikum: Observations on the Islamisation of Malaysia”.

Perintah larangan, dikeluarkan mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi pada 4 Disember.

Zaid akan memfailkan semakan kehakiman, sambil menambah sebelum ini beliau percaya larangan itu disyorkan oleh Jakim, dan pegawai kementerian itu mungkin tidak membaca buku itu sebelum mengeluarkan arahan itu.

“Saya tidak fikir ahli politik membaca mana-mana buku. Dan bukan sekadar ahli politik yang memutuskan (apa yang diharamkan). Ia adalah birokrat, penjawat awam Islam di institusi tertentu. Merekalah yang mendesak larangan itu.

“Saya tidak mengatakan tiada buku patut diharamkan. Ada buku yang menggalakkan agenda kebencian atau perkauman. Buku-buku yang mengancam keselamatan masyarakat. Ya (ia patut diharamkan). Tetapi anda mesti memberikan alasan. Anda mesti diberi peluang untuk bercakap tentang buku ini. Proses itu tidak boleh (dilakukan dalam) satu hari selepas seseorang sudah menandatangani arahan.”

Tahun lepas, Malaysia menduduki tempat ke-144 (daripada 180) dalam senarai Indeks Kebebasan Akhbar Sedunia oleh Reporters Without Borders. – 4 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen