Dana kurang bukan penghalang projek selamatkan murid tak tahu membaca, kata Maszlee


Diyana Ibrahim

Bekas menteri pelajaran Dr Maszlee Malik berkata matlamat Untuk Malaysia membantu dan menyelamatkan generasi murid cicir bukan bermotifkan politik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 9 Mac, 2021.

DANA terhad tidak menghalang bekas menteri pelajaran Dr Maszlee Malik untuk meneruskan perjuangannya menyelamatkan generasi murid tercicir iaitu mereka yang berdepan masalah untuk membaca, menulis dan mengira.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata walaupun dengan dana terhad, pihaknya setakat ini berjaya menaja 100 orang murid cicir dari golongan B40 untuk dibantu melalui gerakan yang diberi nama Untuk Malaysia. Kumpulan ini adalah 10% daripada sasaran gerakan itu.

Jelas Maszlee, baki 900 tempat lagi akan dibuka secara berperingkat bergantung pada jumlah dana sumbangan orang ramai yang diterima.

“Kita tidak tolak (pelajar) ini tapi kita buat secara berperingkat bergantung pada dana.

“Sebab itu kita merayu syarikat korporat atau yayasan di luar sana bantu kami untuk dapatkan 900 lebih lagi ataupun 800 lebih (murid). Mereka ini tunggu waktu untuk kita laksanakan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurut Maszlee, sumbangan dan sokongan masyarakat sangat penting memandangkan program itu 100% bergantung pada dana awam.

“Ia (dana awam) komponen yang sangat kritikal. Daripada (dana) itu kita berikan bahan bacaan, bahan bantuan alat mengajar dan juga belanja (kos) penggerak perubahan atau guru sukarelawan yang pergi dari rumah ke rumah, termasuk membiayai pemakanan sihat untuk anak tersebut.

“Mahu tak mahu kita perlukan dukungan dan sokongan masyrakat. Program ini dari rakyat untuk rakyat. Ini merupakan inisitiaf dari golongan marhaen macam kita,” katanya.

Maszlee menegaskan gerakan ini akan menentukan masa depan negara dalam tempoh sehingga 30 tahun akan datang.

“Kalau anak cicir ini tak dapat diselamatkan pada waktu ini, mereka berpotensi untuk jadi masalah negara dalam tempoh ke depan. 

“Jadi kita nak pastikan anak cicir ini bukan masalah tapi bakat harta dan aset terpenting untuk negara,” katanya.

Maszlee berkata biarpun berdepan dengan halangan dana terhad, pihaknya tidak bertolak ansur dengan isu kualiti, keselamatan dan kesihatan murid dan juga guru sukarelawan.

Badan masyarakat Untuk Malaysia dilancarkan pada November lalu untuk menangani masalah pendidikan yang dihadapi sejak penularan pandemik Covid-19.

Masalah berbangkit antaranya kerana sekolah umumnya ditutup sejak Mac 2020 menjadikan penilaian penguasaan murid banyak bergantung pada ibu bapa.

Program menyelamatkan murid cicir ini mensasarkan mereka yang masih belum boleh membaca, menulis dan mengira biarpun sesetengahnya sudah di Tahun Enam.

Menurut Maszlee, usaha itu juga dimulakan atas gesaan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) dalam laporan yang meminta kerajaan dan semua pihak mengambil berat isu murid tercicir.

Sebelum ini Pengarah Operasi gerakan itu Hafizul Faiz  berkata mereka tidak dapat memastikan jumlah sebenar murid cicir di Malaysia namun mengesyaki jumlahnya besar.

Jelasnya, dalam masa empat hari sahaja selepas dilancarkan, projek Selamatkan Murid Cicir menerima 2,000 permohonan.

Projek itu melibatkan tiga kelompok – iaitu kumpulan murid cicir, penggerak perubahan atau guru sukarelawan dan orang ramai yang boleh menaja program itu atau melaporkan kes murid cicir di kawasan mereka.

Sehingga kini seramai 100 orang murid cicir dari golongan B40 untuk dibantu melalui gerakan yang diberi nama Untuk Malaysia. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 9 Mac, 2021.

Tambah Maszlee, program intervensi itu secara rasmi bermula pada minggu lepas dan akan melibatkan seluruh negeri kecuali Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Katanya, tempoh 10 bulan adalah jangka masa yang disasarkan untuk murid berjaya menguasai 3M melibatkan dua kali sesi setiap satu jam bagi seminggu.

“Seperti mana diketahui fasa ini perlu dipantau kerana kita tak mahu kompromi mengenai isu kualiti keselamatan dan kesihatan anak anak itu sendiri.

“Setakat ini dari laporan terutama yang saya kongsi apa berlaku di Perak dan Bangi seterusnya  di seluruh negara kita dapati penggerak perubahan atau cikgu sukarelawan di seluruh negara ini telah menunjukkan laporan yang positif dan mengujakan,” katanya.

Program diteruskan biarpun sekolah dibuka

Maszlee juga berkata sekolah yang dibuka semula pada minggu ini tidak akan menghentikan program menyelamatkan murid tercicir yang sudah berjalan atau menjadikannya tidak lagi relevan.

Katanya, tempoh pembelajaran yang hilang kerana sekoah ditutup tetap perlu diganti.

“Di sekolah mereka perlu lalui program yang rutin tapi tetap perlu diganti 180 hari dengan waktu sela yang ada kita isikan dengan program intervensi ini,” katanya.

Ulasnya bagi ibu bapa yang berkememampuan tidak akan mempunyai masalah  isu  keciciran sepanjang tempoh sekolah ditutup kerana mereka mampu menyediakan alternatif lain seperti melengkapkan akses peranti bagi pembelajaran dalam talian atau mengupah tutor datang ke rumah.

“Tapi  1,000 yang kita ada bersama kita dari golongan rentas miskin yang tak kemampuan ini yang sebuah rumah ada enam beradik tapi punyai satu peranti milik ibu yang terpaksa keluar bekerja… mereka inilah yang kita ingin selamatkan,” katanya.

Pada masa sama beliau bimbang guru sukarelawan mungkin dihalang terlibat dan berharap kerajaan tidak melarang mereka menyumbang tenaga, masa dan kepakaran.

“Dukungan dan sokongan pihak kerajaan penting… tidak melarang dan tidak menghalang usaha ini. Kalau tak membantu pun sekurang- kurangnya jangan menghalang guru-guru bantu anak-anak ini.

“Kita risau ada guru ingin terlibat dalam usaha ini tapi mereka diberi amaran supaya tidak terlibat dan saya rasa ini akan menjejaskan proses pendidikan itu sendiri,” katanya.

Maszlee berkata matlamat Untuk Malaysia membantu dan menyelamatkan generasi murid cicir bukan bermotifkan politik.

“Kami letakkan politik sejauh-jauhnya dalam agenda kami. Agenda kami untuk pastikan rakyat terdidik dan dipandaikan dan kita selamatkan  generasi ini. Jika hari ini kita buka pintu pendidikan anak anak ini bermakna kita tutup satu pintu penjara 

“Ini amat penting kalau nak selamatkan masa depan negara kita tolak politik ideologi perkauman dan letakkan masa depan anak- anak yang lebih tinggi dan kita bekerjasama,” katanya. – 9 Mac, 2021.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen