NGO tawar program 10 bulan bantu murid tercicir


Diyana Ibrahim

Program Selamatkan Murid Cicir dimulakan kerana ramai pelajar masih gagal membaca, menulis dan mengira pada waktu ini susulan pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Februari, 2021.

SATU program menyelamatkan murid tercicir mensasarkan 1,000 pelajar sebagai permulaan untuk mengelak lebih ramai pelajar ketinggalan akibat penutupan sekolah dan pandemik.

Penggerak program Selamatkan Murid Cicir itu, Hafizul Faiz berkata usaha itu dimulakan kerana ramai pelajar masih gagal membaca, menulis dan mengira (3M) pada waktu ini.

Program yang mensasarkan murid peringkat prasekolah hingga darjah enam itu dikendali Gerakan Untuk Malaysia, satu NGO diasaskan bekas menteri pelajaran Maszlee Malik, katanya.

Hafizul yang merupakan pengarah operasi Untuk Malaysia berkata, program tersebut menyediakan intervensi atau bimbingan mengajar bagi memastikan murid dapat menguasai 3M.

Tempoh 10 bulan ditetapkan bagi program itu, bermula Februari hingga November yang dianggap mampu dilaksanakan bagi menyelamatkan murid terbabit.

“Kerana 10 bulan ialah tempoh paling praktikal untuk memastikan murid cicir ini dapat menguasai 3M sebelum mereka masuk ke tahun berikutnya agar mereka tidak ketinggalan,” kata Hafizul.

Jelasnya usaha itu dimulakan atas gesaan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) dalam laporan yang meminta kerajaan dan semua pihak mengambil berat isu murid tercicir.

“Antara langkah paling perlu dan segera diambil ialah intervensi bertumpu kepada murid yang tercicir. Sebab itu projek Selamatkan Murid Cicir ini mula digerakkan,” katanya.

NGO Untuk Malaysia itu dilancarkan Maszlee pada November untuk menangani masalah pembelajaran dihadapi pelajar sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

Katanya perkara itu berlaku kerana pelbagai faktor antaranya kerana sekolah ditutup sejak Mac dan penilaian penguasaan murid banyak bergantung kepada ibu bapa.

Hafizul berkata mereka tidak dapat memastikan jumlah sebenar murid cicir di Malaysia namun mengesyaki jumlahnya besar.

Ini kerana malam masa empat hari selepas dilancarkan, projek Selamatkan Murid Cicir menerima 2,000 permohonan, katanya.

“Ini jumlah yang sebenarnya amat merisaukan. Isu murid cicir bukan baru.

“Cuma disebabkan pandemik isu ini menjadi keutamaan kerana risiko untuk murid cicir sangat tinggi gara-gara masalah kemiskinan dan sebagainya disebabkan pandemik,” katanya.

Modus operandi

Hafizul menjelaskan projek Selamatkan Murid Ciciri melibatkan tiga kelompok – pertama melibatkan kumpulan murid cicir terbabit.

Tambahnya, kelompok kedua merupakan penggerak perubahan atau changemaker yang teridiri daripada tutor sukarelawan Untuk Malaysia.

Isu murid keciciran menjadi lkeutamaan susulan pandemik yang melanda dunia dan turut menjejaskan Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Februari, 2021.

Kelompok ketiga pula melibatkan orang ramai yang boleh menaja murid cicir mengikut kemampuan masing-masing selain melaporkan kes murid cicir.

Beliau berkata ketika ini langkah pertama sudah bermula dengan membuka ruang kepada orang ramai melaporkan kes murid cicir.

“Langkah seterusnya ialah bengkel dan latihan tutor untuk murid cicir yang akan dilaksanakan minggu ini.

“Dan kelas akan bermula pada minggu depan,” katanya menambah program itu akan dijalankan di seluruh Malaysia.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan program itu berdepan cabaran memastikan murid dan changemaker atau tutor tidak terdedah dengan jangkitan Covid- 19 ketika sesi pembelajaran.

Memandangkan semua sesi tersebut perlu diadakan secara bersemuka, Hafizul berkata berkata mereka akan mengutamakan pematuhan prosedur amalan standard (SOP) Covid-19.

Antara yang akan dilakukan ialah mengehadkan hanya dua orang murid dan seorang changemaker bagi setiap kelas dan lokasinya mesti dalam lingkungan 10 kilometer.

“Kita akan adakan secara bersemuka. Ini kerana sasaran kita 98% kejayaan dan kadar keberkesanannya. Sasaran ini sukar dicapai jika hanya bergantung kepada sesi dalam talian.

“Namun kita akan mematuhi semua SOP. Kita akan suaipadankan changemaker dengan murid cicir di dalam radius serta mematuhi semua SOP yang telah digariskan,” katanya.

Beliau berkata, untuk tujuan itu mereka memerlukan sekurang-kurangnya 500 changemaker bagi 1,000 murid yang disasarkan.

Tambahnya, mereka akan menyaring 2,000 permohonan yang diterima pada masa ini untuk menyediakan tempat bagi murid dari kumpulan B40 dan kurang berkemampuan.

Changemaker pula terdiri daripada relawan Untuk Malaysia yang ini berjumlah 7,000 orang yang akan ditempatkan di kawasan tertentu semasa mendaftar.

Hafizul berkata, mereka juga akan menambah jumlah bilangan murid mengikuti program tersebut jika mendapat lebih banyak dana.

Kesemua sekolah kini ditutup kecuali bagi kehadiran pelajar yang menghadapi peperiksaan utama untuk pembelajaran secara bersemuka.

Semua murid lain menjalani pembelajaran dan penilaian di rumah secara dalam talian dan dengan mengikuti siaran rancangan pendidikan di televisyen.

Para ibu bapa dan pendidik pula mengeluh kerana ramai pelajar masih tidak memiliki peranti dan liputan Internet bagi mengikuti pembelajaran tersebut. – 2 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen