Teo nafi arah ubah sukatan buku teks sejarah


Bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching menafikan beliau dan pegawainya terlibat menyediakan dan mengubah sukatan buku teks seperti didakwa seorang wartawan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Februari, 2021.

BEKAS timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching menafikan beliau dan pegawainya terlibat menyediakan dan mengubah sukatan buku teks seperti didakwa seorang wartawan.

Beliau menyifatkan dakwaan oleh Yazid Othman itu sebagai tuduhan jahat dan meragui bukti yang dikemukakan aktivis gerakan menolak Buku Teks Sejarah Tingkatan Empat itu.

“Sepanjang berkhidmat di Kementerian Pendidikan Malaysia, saya dan pegawai di pejabat timbalan menteri pendidikan tidak pernah terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam penyediaan deraf dan kerja percetakan buku teks.

“Apatah lagi arah untuk mengubah kandungan buku sejarah. Ternyata sumber yang dinyatakan oleh Yazid sendiri mendatangkan keraguan melampau.

“Kesemua tuduhan Yazid Othman adalah tidak berasas, berniat jahat dan tidak munasabah,” katanya yang sedang mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas penulis itu.

Yazid menyebut dakwaan itu dalam program bual bicara dengan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki dan pengkaji sejarah Ramlah Adam yang disiar langsung di Facebook malam tadi.

Yazid mendakwa timbalan menteri tersebut mengarahkan sukatan tersebut ditukar untuk mengagung-agungkan komunisme.

Tanpa menamakan Teo, Yazid mendakwa individu yang menurutnya memberi arahan itu merupakan “timbalan menteri pendidikan PH perempuan berbangsa Cina”.

Dakwanya, maklumat itu diperolehi hasil semakannya dengan kakitangan Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Orang dalaman sendiri memberi maklumat kepada kita. Dia menerima panggilan telefon daripada timbalan menteri pendidikan PH perempuan berbangsa Cina.

“(Timbalan menteri itu mengarahkan) ‘Kamu ubah, teks buku sejarah ini dengan maklumat yang saya sedang kirim sekarang. 15 minit lagi sampai kepada kamu. Bila terima kamu terus cetak’.”

Yazid mendakwa demikian ketika ditanya Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki dalam acara bual bicara bersama pengkaji sejarah Ramlah Adam yang disiar langsung pada malam tadi.

Dakwaan bahawa sukatan buku teks itu ditukar untuk mengagung-agungkan komunisme juga disebut Asyraf dalam siaran tersebut.

Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik menafikan sukatan tersebut diubah untuk mengagung-agungkan gerakan komunis.

Beliau turut menuntut permohonan maaf dan ganti rugi dari Asyraf atas tuduhan tersebut, dan juga mahu bersemuka dengan Asyraf bagi menjawab tuduhan berkenaan.

Maszlee berkata beliau sedia menjelaskannya bersama pakar yang terlibat dengan penyediaan buku teks Kurikulum Standard Sekolah Menengah.

Beliau menggesa agar dialog bebas itu turut dihadiri Panel Pakar Rujuk Kurikulum serta wakil dari Kementerian Pendidikan Malaysia.

Sementara itu Yazid sewaktu ditanya dalam acara bual bicara disiarkan Pemuda Umno malam tadi enggan mendedahkan identiti individu yang didakwanya membocorkan maklumat tersebut.

Beliau yang yakin pendedahan itu setanding siasatan wartawan tersohor Carl Bernstein and Bob Woodward mendakwa identiti sumbernya dirahsiakan “sebab mereka dalam bahaya misalnya”.

Yazid yang merupakan bekas presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan meraih kontroversi pada 2017 ekoran penghakiman satu pertandingan esei.

Beliau yang merupakan juri pertandingan menobatkan tulisan mengenai penasihat DAP bertajuk “Kit Siang Rasis” sebagai pemenang utama.

Identiti penulis esei tersebut, yang dimasyhurkan sebagai pemenang hadiah RM10,000 bagaimanapun tidak diumumkannya.

Esei itu dilaporkan dihimpun dalam antologi “DAP Bahaya Kepada Melayu-Islam Di Malaysia”. – 27 Februari, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen