Membina legasi Kuala Lumpur jadi Kota Buku Dunia


Zainal Rashid Ahmad

KITA berharap 14 karya Sasterawan Negara (SN) diterbitkan semula pada 2020 sempena Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia (KLWBC) Unesco.

Sama ada karya baharu atau karya besar yang dicetak semula sebagai edisi khas KLWBC 2020, ia tetap tanda mata yang menakjubkan.

Kebetulan Salina karya A Samad Said genap enam dekad tahun ini. Masih belum terlewat meraikan karya agung sasterawan negara keempat itu pada tahun depan.

Sasterawan Negara Keris Mas, Shahnon Ahmad, Arenawati dan Usman Awang masih punya karya-karya agung yang perlu dikembalikan ke arus perdana bagi diapresiasikan generasi baharu.

Selain itu, generasi muda dan masyarakat dunia perlu diperkenalkan juga dengan karya-karya sasterawan negara yang lain seperti Noordin Hassan, Abdullah Hussain dan S Othman Kelantan.

Manakala Muhammad Haji Salleh, Anwar Ridhwan, Kemala, Baha Zain, Zurinah Hassan dan Siti Zainon Ismail perlu dijadikan ikon KLWBC 2020.

Bersama Pak Samad, enam sasterawan negara ini simbol kecemerlangan yang masih hidup dan aktif mewarnai jagat sastera kebangsaan.

Dua minggu lagi, akan muncul 1 Januari 2020. Tanda kita melangkah masuk ke tahun Kuala Lumpur jadi kota buku dunia. Atmosfera sastera akan mekar tiba-tiba dan pencinta buku akan mula mencari ruang menjerit dan mempromosi berita perbukuan.

Bagi pencinta sastera, mereka akan mula mencari dan memainkan peranan hiperaktif untuk mempromosi agenda KLWBC 2020.

Ini pesta terbesar sejarah kesusasteraan nasional sejak merdeka.

Harus diingat, ini acara berkelas dunia yang diiktiraf Unesco dan berada dalam carta elit peta perbukuan antarabangsa. Ia bukan acara domestik yang menumpang pakai logo global.

Walaupun Kuala Lumpur berpengalaman dalam banyak acara dunia, namun, ia penganjuran domestik yang meminjam kata antarabangsa.

Berbeza dengan KLWBC 2020 yang berkelas dunia dengan pengiktirafan Unesco dan layak diguna pakai selama-lamanya.

Unesco mengiktiraf KLWBC 2020. Petualang dunia dari kuasa besar mana pun tidak akan mampu merampasnya.

Selain 14 SN yang ada, kita perlu juga melihat lebih 30 penerima Anugerah SEA Write yang masih ada. Ini masa mengujanakan kembali nama-nama besar berkelas Nusantara.

Malah hampir dua puluh penerima masih aktif dan wajar diperkenalkan kepada masyarakat. Walaupun SEA Write dianugerahkan Istana Thailand, namun penerimanya dianggap berada setakah di bawah sasterawan negara.

Juga, jangan lupakan senarai panjang nama-nama penulis muda. Dari Muhamad Lutfi Ishak, Roslan Djomel, Wan Nor Azriq dan Ruhainis Matdarin. Mereka dianggap peneroka dekad mutakhir sastera kontemporari Malaysia.

KLWBC 2020 harus lengkap gerakan promosinya. Walaupun bakal meriah dengan cara fizikal, namun jangan lupa - karya dan sasterawan ialah aset utama sastera.

Tanpa penulisnya, rak buku ibarat hanya susunan batu-bata tanpa nyawa.

Penerima SEA Write yang senior dari generasi A. Ghafar Ibrahim, Dr Rahman Shaari, Lim Swee Tin, Azmah Nordin dan Malim Ghazali Pk harus diraikan dalam KLWBC 2020.

Karya-karya besar melayakkan mereka ke Bangkok dan diberikan anugerah oleh Istana Thailand. Tentulah wajar, penerima SEA Write diraikan sebagai antara komponen utama KLWBC 2020.

Begitu juga penerima SEA Write generasi lebih muda seperti Zaen Kasturi, SM Zakir, Jasni Matlani dan Mawar Shafei.

KLWBC 2020 memang bertemakan buku. Tapi buku objek mati dalam promosi tanpa keterampilan pengarangnya. Usaha memartabatkan buku tanpa penulisnya akan menghadkan tumpuan khalayak.

Ketika budaya membaca sedang mengalami kemerosotan teruk, sampai masanya KLWBC 2020 meledakkan semula budaya buku tetapi dengan fenomena baharu.

Sasterawan harus diangkat sebagai bintang dan karya adalah produk yang mesti dipromosikan secara penuh gemilang.

Bintang harus dilegasikan; barulah produk menemukan integriti.

Sebagai pencinta sastera selama tiga dekad, saya ingin melihat SN, penerima SEA Write dan penulis muda prolifik dipromosikan habis-habisan dalam KLWBC 2020.

Masyarakat harus kenal sasterawan tiga generasi dalam katalis sastera Malaysia. Tiga generasi yang aktif serentak masa kini.

Kita mungkin menyasarkan 50 judul elit buku pelbagai genre utama dengan sasaran jualan melepasi 5,000 naskhah per buku.

Ini wajar dijadikan katalis Indeks Pencapaian Kerja (KPI) bagi membolehkan pasukan kerja KLWBC 2020 menggalas tugas yang boleh diukur pretasinya.

Selain itu, memastikan judul buku SN dijual melepasi 10 ribu naskah. Setiap SN akan memiliki satu judul buku utama sebagai sasaran “master piece” KLWBC 2020.

Bagi SEA Write, sasaran jualan wajar melepasi 5,000 edaran dengan karya utama penerima dicetak semula dalam versi elit.

Logo KLWBC 2020 akan memberikan nilai tambah pada prestij buku-buku yang difokuskan pada KLWBC nanti.

Ia menjadikan jenama buku yang terpilih sebagai berkelas dunia.

Adalah wajar juga, YB Menteri memandatkan KLWBC 2020 memilih 10 penulis muda di bawah usia 40 tahun sebagai ikon masa depan sastera nasional.

Kita berharap dalam kegamatan meraikan acara fizikal KLWBC 2020 - semangat karya dan buku dijadikan katalis melestarikan para sasterawan. Sekaligus memgangkat karya-karya mereka di tahap paling tinggi.

Harus ada usaha membina legasi sepanjang zaman sempena KLWBC 2020. Ini penting bagi memastikan 50 karya besar yang mewakili SN, Penerima SEA Write dan Ikon Penulis Muda diangkat pada temasya dunia ini.

Selain itu, seniman yang komited dengan usaha mempromosi karya sastera melalui bakat persembahan seni wajar dilibatkan.

Generasi Ahmad Tarmimi Siregar, Ahmad Yatim, Rahim Razali, Johan Jaafar, Dinsman, Sabri Yunus, M. Nasir dan Ramli Sarip wajar diberi tugas menghasilkan magnum opus persembahan kreatif bagi mengangkat masterpiece sasterawan negara.

Manakala Aloy Paradoks, Fazleena Hishamuddin, Alif Awan, Jack Malik, Omoq Iwan, Ali Adenan, Petak Daud dan aktivis generasi milenial diberikan tugas mengangkat karya-karya penting alaf baru.

Kita mahukan KLWBC 2020 bukan sekadar majlis fizikal. Namun, akan dikenang kerana magika dan magisnya spiritual yang bernilai intelek. – 11 Disember, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen