Kurang maklumat vaksin timbulkan panik Orang Asli


Aminah Farid

BEBERAPA komuniti Orang Asli belum membuat keputusan berkenaan program vaksinasi Covid-19 dengan ada daripada kalangan mereka dilaporkan meninggalkan kampung kerana takut diberi vaksin, kata pemimpin dan aktivis Orang Asli.

Kekurangan maklumat mengenai program vaksin Covid-19 menyebabkan berlakunya salah faham dalam kalangan masyarakat Orang Asli yang bertanggapan kerajaan menggunakan mereka sebagai bahan ujikaji untuk menguji vaksin.

Aktivis berkata sebuah artikel berita menjadi viral dalam kalangan Orang Asli apabila Pengasas Koperasi Pembangunan Orang Asli, Ramesh Arumugam Chettiar mempersoalkan mengapa kerajaan tidak mengutamakan masyarakat untuk program vaksinasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Foundation The Su Thye memberitahu The Malaysian Insight bahawa pada ketika maklumat Ramesh sampai kepada Orang Asli, maklumat berbeza telah disampaikan.

“Ia dari mempersoalkan kerajaan mengutamakan masyarakat Orang Asli sehingga Orang Asli dijadikan subjek ujian untuk program vaksinasi,” katanya.

Teh berkata beliau diberitahu bahawa Orang Asli berada dalam keadaan panik ketika berita tersebar bahawa mereka akan menerima suntikan vaksin Covid-19 fasa pertama dan kerajaan akan menggunakan komuniti Orang Asli untuk mengukur tahap keberkesanan vaksin berkenaan.

Mesej yang tidak tepat itu kemudian mula tersebar dalam kalangan komuniti berkenaan.

Pegawai Teh kemudian melaporkan kepadanya bahawa beberapa penduduk kampung Orang Asli melarikan diri ke hutan apabila mereka mendengar berita palsu berkenaan, dengan sebilangan mereka berada dalam keadaan takut pihak berkuasa akan datang ke kampung mereka bersama vaksin.

“Saya fikir Orang Asli yang berpendidikan tidak terkesan tetapi ramai yang tidak celik dan ia tidak bagus apabila ada yang salah faham.

“Ia juga akan mempengaruhi kepercayaan Orang Asli terhadap ‘orang luar’, apabila mereka berfikir bahawa ‘kita’ cuba untuk menggunakan mereka sebagai eksperimen,” katanya.

Teh berkata bahawa sangat penting bagi kerajaan untuk pergi ke kampung-kampung ini dan mendidik Orang Asli mengenai kepentingan vaksinasi.

Sementara itu Naib Presiden Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JAOS) Yusri Alon berkata penduduk di kampungnya menyoal adakah benar mereka akan digunakan sebagai bahan ujikaji.

Yusri yang tinggal di Pahang berkata beberapa persoalan terlintas di fikirannya apabila mendengar berita seperti vaksin akan menghapuskan Covid-19 dengan berkesan, adakah bayi yang baru lahir sedang dipertimbangkan untuk menerima suntikan termasuk apa rancangan kerajaan bagi mereka yang tidak dapat diberi vaksin dan adakah tubuh manusia dapat menampung vaksin masa depan sekiranya ada virus lain.

Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) Mustafa Along berkata salah faham mengenai vaksin adalah disebabkan kegagalan pihak berkuasa menyampaikan maklumat tepat.

“Orang ramai tahu komuniti Orang Asli adalah kumpulan terpinggir, jadi isu berkenaan menjadi masalah besar bagi masyarakat kita,” katanya.

Meskipun belum ada banyak halangan untuk mendapatkan vaksin di antara penduduk di Kampung Mustafa di Gua Musang, Kelantan, beliau bagaimanapun berkata suku kaum Semang bimbang kerana mereka tidak pernah menerima sebarang vaksin sebelum ini.

Beliau juga berkata bahawa penting untuk Putrajaya dan Kementerian Kesihatan untuk membincangkan program vaksinasi dengan Orang Asli bagi mendapatkan persetujuan mereka.

Sementara itu Profesor Juli Edo, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (Jakoa) memberitahu The Malaysian Insight bahawa jabatan itu memberikan maklumat berkenaan vaksin kepada masyarakat Orang Asli melalui pemimpin masyrakat (tok batin) termasuk pegawai dari Jawatankuasa Penduduk Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA).

Juli bagaimanapun berkata masyarakat Orang Asli keliru dengan maklumat palsu berkenaan vaksin yang disebarkan di media sosial untuk mempengaruhi mereka agar tidak mengambil suntikan vaksin.

“JAKOA selalu bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mengurus kebajikan dan kesihatan masyarakat Orang Asli.

“Oleh itu semua rancangan mengenai vaksinasi oleh KKM akan disokong dan dibantu sepenuhnya oleh JAKOA,” katanya.

Selain itu beliau juga merancang untuk mengadakan dialog mengenai maklumat vaksin di kampung Orang Asli bersama KKM.

“Program penyiaran melalui radio Asyikfm juga akan diadakan,” katanya. 

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihak berkuasa komited untuk memastikan Orang Asli menyedari pentingnya vaksinasi untuk membendung wabak koronavirus.

Kementerian akan terus berinteraksi dengan masyarakat untuk meningkatkan pemahaman mereka tentang vaksin dan kebaikannya kerana ramai yang keliru berkenaan perkara itu.

Beliau juga menjelaskan bahawa Orang asli tidak berada dalam fasa pertama golongan yang akan diberi vaksin.

Ahad lalu, Malaysia menerima 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTeach yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan di Pulau Pinang. Vaksin tersebut kemudiannya diedarkan ke seluruh negeri.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Noor Hisham menerima vaksin Covid-19 pada Rabu.

Mereka adalah individu pertama di negara ini yang menerima dos vaksin Pfizer-BioNTech apabila kerajaan memulakan rancangan imunisasi nasional tiga fasa untuk menyuntik sekurang-kurangnya 80% penduduk. – 27 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen