Cuaca panas tidak boleh bunuh virus Covid-19, kata ahli virologi


Cuaca panas menyebabkan orang ramai memilih tinggal di rumah yang mencetus kebimbangan penularan lebih tinggi jika ada di antaranya dijangkiti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Februari, 2021.

CUACA panas di seluruh negara boleh mengurangkan kadar survival koronavirus tetapi ia tidak akan membunuhnya, lapor The Star.

Ahli virologi Universiti Sains Malaysia Prof Dr Yahya Mat Arip berkata virus itu masih boleh menular kerana negara mengalami cuaca kering.

“Ia bukan jaminan akan membunuh virus sepenuhnya atau menghalangnya daripada menjangkiti orang lain.

“Oleh itu, prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka, penggunaan pembersih tangan yang kerap dan memastikan penjarakan fizikal masih diperlukan,” katanya.

Menurut Yahya, suhu tinggi boleh mengurangkan daya tahan virus di luar perumah kerana SARS-CoV-2, virus yang bertanggungjawab bagi wabak Covid-19, adalah virus yang mempunyai selaput.

Beliau berkata langkah berjaga-jaga juga harus diambil ketika individu berada di tempat tertutup yang sesak.

“Dengan cuaca panas, orang cenderung kurang keluar, mengurangkan pergerakan dan interaksi fizikal.

“Tetapi kebimbangan lain timbul ketika orang berkumpul di tempat tertutup atau di bilik berhawa dingin, yang menyebabkan kecenderungan penularan lebih tinggi jika ada di antaranya dijangkiti,” katanya.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, negara kini mengalami fasa akhir Monsun Timur Laut.

Ketua pengarahnya Jailan Simon berkata sepanjang tempoh ini, taburan hujan akan rendah di seluruh Semenanjung Malaysia, terutama negeri di utara.

Beliau berkata musim panas tahun ini tidak akan menjadi luar biasa dan cuaca dialami sekarang adalah fenomena semula jadi sepanjang Februari hingga April setiap tahun.

Setakat ini, suhu tertinggi yang dicatatkan pada Februari ialah 36.2°C, lebih rendah daripada suhu 37.4°C tahun lalu di Kuala Kangsar.

Jailan menambah musim panas dijangka berterusan hingga pertengahan April. – 24 Februari, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen