Malaysia pertingkat pemeriksaan virus Wuhan


Angie Tan

Gambar pada Februari 2017 ini menunjukkan jururawat menyediakan ubat untuk seorang pesakit selesema burung di Wuhan. Pada masa ini wujud satu lagi wabak dikenali ‘selesema Wuhan’ dikatakan bermula dari sebuah pasar basah. – Gambar fail AFP, 7 Januari, 2020.

SARINGAN suhu akan dilakukan terhadap penumpang yang tiba dari Wuhan, China di pemeriksaan imigresen di lapangan terbang bagi mencegah tersebarnya virus ala pneumonia yang masih tidak diketahui, kata Kementerian Kesihatan.

Timbalan menteri Lee Boon Chye berkata mereka yang rasa tidak sihat selepas ke China perlu mendapatkan rawatan di hospital kerajaan serta-merta.

Memetik perkembangan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Lee berkata terdapat 59 kes yang digelar sebagai “flu Wuhan” dilaporkan di Wuhan setakat minggu lalu.

Menurut laporan media, terdapat 15 kes di Hong Kong, tetapi Lee tidak menyebut saringan suhu terhadap penumpang yang tiba di Malaysia dari Hong Kong.

Pihak berkuasa China menolak ia virus Sindrom Pernafasan akut yang teruk (SARS), Sindrom pernafasan Timur Tengah (MERS) atau selesema burung, dan masih menyiasat virus itu.

Pihak berkuasa Wuhan juga sedang memantau rawatan perubatan terhadap 163 individu.

Timbalan Menteri Kesihatan Lee Boon Chye berkata mereka yang rasa tidak sihat selepas ke China perlu mendapatkan rawatan di hospital kerajaan serta-merta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Januari, 2020.

Lee berkata tiada langkah pencegahan diambil terhadap pengunjung dari Singapura, di mana seorang kanak-kanak tiga tahun disyaki dijangkiti virus tidak dikenali itu, meninggal dunia.

“Dalam kata lain, tiada kes dilaporkan di rantau lain,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Malaysia turut berdepan peningkatan kes influenza sejak akhir-akhir ini tetapi Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dua hari lalu berkata peningkatan kes berkenaan “sedikit” dan dalam kadar normal berdasarkan coraknya pada tahun-tahun sebelumnya.

Tiada kematian dilaporkan setakat ini berhubung wabak yang dilaporkan di Wuhan penghujung tahun lalu.

“Virus itu belum dikenal pasti lagi,” kata Lee.

Beliau berkata setakat ini tidak ada bukti menunjukkan jangkitan manusia kepada manusia berkaitan virus itu.

“Pada masa ini, virus itu tidak menunjukkan ia boleh berjangkit menerusi manusia, jadi risikonya tidak tinggi.

“Di Wuhan, wabak itu ada kaitan dengan sebuah pasar basah menjual makanan laut, dan pasar itu ditutup pada 1 Januari,” katanya.

Pihak berkuasa China mengarahkan penutupan pasar itu selepas beberapa pekerja pasar jatuh sakit akibat virus yang belum diketahui asalnya.

Selain makanan laut, sesetengah penjual di pasar itu turut menjual haiwan liar termasuk ular dan burung, menyebabkan wujud kebimbangan persamaan dengan wabak SARS pada 2003. Wabak itu juga dikesan bermula daripada dagangan daging haiwan liar di Guangdong, China.

Lee menggesa orang ramai jangan bimbang kerana Kementerian Kesihatan bekerjasama rapat dengan kementerian di China dan WHO bagi mendapatkan perkembangan epidemik itu.

Bahagian kawalan penyakit Kementerian Kesihatan turut mengeluarkan kenyataan berkata siasatan masih dijalankan di China bagi mengenal pasti patogen yang membawa penyakit itu.

“Kami berhubung dengan WHO tentang laporan itu. Siasatan masih dijalankan oleh pihak berkuasa di China dan mereka belum dapat lagi mengesahkan patogen yang menyebabkan penyakit itu.

“Ada banyak punca yang berpotensi menyebabkan pneumonia, kebanyakannya lebih biasa berbanding SARS. WHO memantau rapat keadaan ini dan akan berkongsi lebih banyak maklumat dengan kita,” katanya. – 7 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen