i-Sinar, i-Lestari tidak ganggu dividen KWSP 2020, kata pakar


Ragananthini Vethasalam

KWSP memberikan prestasi yang baik walaupun berdepan tahun mencabar akibat pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Februari, 2021.

PENGELUARAN i-Sinar dan i-Lestari mungkin tidak mempengaruhi pembayaran dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk 2020, kata pengurus dana dan penganalisis.

Mereka berkata ada kemungkinan dana persaraan itu akan mengumumkan dividen yang lebih rendah daripada tahun sebelumnya namun perbezaannya tidak banyak. KWSP dijangka  mengumumkan dividen 2020 pada akhir minggu atau awal bulan depan.

Pembayaran dividen pada 2019 berjumlah RM45.8 bilion. Ia mengumumkan dividen 5.45% untuk simpanan konvensional dan 5% untuk simpanan syariah.

5.45% untuk simpanan konvensional adalah yang terendah dalam satu dekad sementara dividen 5% untuk simpanan syariah adalah yang terendah sejak penubuhannya pada Januari 2017.

Ketua Penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd Imran Yassin Yusof berkata pelbagai langkah bantuan untuk melawan kejatuhan akibat pandemik Covid-19 mungkin tidak memberi kesan signifikan terhadap dividen tahun 2020 kerana prestasi baik, pengurusan aliran tunai dan aliran masuk dana KWSP.

Imran berkata sekurang-kurangnya dividen itu akan setara dengan dividen Permodalan Nasional Bhd (PNB) untuk Amanah Saham Bumiputera (ASB). PNB mengumumkan dividen 4.25% sebagai penanda aras ASB untuk 2020.

Beliau berkata, ini mungkin kerana KWSP memberikan prestasi yang baik walaupun berdepan tahun mencabar akibat pandemik Covid-19.

“Kami perhatikan pendapatan pelaburan bersih KWSP untuk 9M2020 hanya 0.5% lebih rendah daripada pendapatan pelaburan bersih tahun penuh 2019 dan sangat mustahil bagi KWSP untuk tidak mendaftarkan sebarang pendapatan pada 4Q2020,” kata Imran kepada The Malaysian Insight.

“Prestasi berpotensi menjadi lebih baik tanpa sebarang penurunan.

“Namun, ini mungkin dipengaruhi oleh fakta bahawa tahun lalu juga didapati aliran keluar dana lebih tinggi daripada biasa kerana tindakan bantuan kerajaan seperti i-Lestari.”

Tambah Imran, sebelum pandemik KWSP dijangka menerima anggaran aliran masuk bersih sebanyak RM1.7 bilion setiap bulan.

“Walaupun jumlahnya mungkin lebih rendah disebabkan oleh kesan Covid-19, kami percaya ia akan dapat menampung aliran keluar tanpa mempengaruhi dividen,” katanya.

KWSP meluluskan RM14.41 bilion untuk pengeluaran skim i-Lestari antara 12 April dan 18 Disember tahun lalu, yang melibatkan 4.88 juta ahli. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Februari, 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif Areca Capital Sdn Bhd Danny Wong menjangka dividen akan lebih rendah daripada tahun lalu, tetapi tidaklah ketara rendahnya.

Beliau berkata kesan pengeluaran tidak akan ketara kerana peruntukan strategik dana aset cairnya.

“Saya tidak jangka pengeluaran akan mempengaruhi pulangan kerana KWSP menguruskan dana mengikut Peruntukan Aset Strategik di mana terdapat peruntukan untuk aset cair bagi pengeluaran,” katanya.

Bekas perdana menteri dan menteri kewangan Najib Razak baru-baru ini berkata beliau meramal dividen tahunan dana persaraan untuk 2020 lebih tinggi daripada 4.25% PNB.

Najib berpendapat ini mungkin berlaku kerana pulangan dari pelaburan dana luar negeri yang menghasilkan pulangan yang lebih baik berbanding pasaran domestik.

Dalam sembilan bulan pertama 2020, aset pelaburan KWSP berjumlah RM941.77 bilion.

Pada 4 Januari, KWSP meluluskan sejumlah 2.5 juta permohonan untuk skim i-Sinar dengan pengeluaran berjumlah RM19.62 bilion.

Skim i-Sinar membolehkan ahli mengeluarkan wang sehingga RM10,000 dari simpanan Akaun 1 mereka.

Ini termasuk pekerja di sektor formal, pekerja mandiri dan pekerja dalam ekonomi sementara, mereka yang tidak menyumbang kepada KWSP untuk jangka masa tertentu, kehilangan pekerjaan, suri rumah, atau dikenakan cuti tanpa gaji layak membuat permohonan untuk pengeluaran itu.

Sementara itu, RM14.41 bilion lagi  diluluskan untuk pengeluaran skim i-Lestari antara 12 April dan 18 Disember tahun lalu, yang melibatkan 4.88 juta ahli.

Kemudahan pengeluaran i-Lestari membolehkan ahli berusia 55 tahun ke bawah mengeluarkan antara RM50 hingga RM500 sebulan dari Akaun 2 KWSP mereka untuk tempoh 12 bulan hingga 31 Mac 2021.

Untuk tahun penuh 2019, KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan kasar RM50.29 bilion sementara jumlah asetnya berjumlah RM924.75bilion. – 23 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen