Najib ramal dividen KWSP lebih tinggi dari ASB


Najib Razak juga ramal KWSP akan menjelaskan bahawa dividen bagi 2020 diselamatkan oleh pelaburan luar negara yang memberi pulangan yang jauh lebih besar berbanding pulangan domestik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Februari, 2021.

BEKAS perdana menteri Najib Razak meramalkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengumumkan dividen bagi tahun 2020 sama atau lebih tinggi berbanding dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) iaitu 4.25%.

“Saya juga ramal KWSP akan jelaskan bahawa dividen tahun 2020 diselamatkan oleh pelaburan luar negara yang memberi pulangan yang jauh lebih besar berbanding pulangan domestik,” tulisnya di Facebook.

KWSP tahun lalu mengumumkan dividen 5.45% bagi Simpanan Konvensional berjumlah RM41.68 bilion bagi tahun kewangan 2019.

Dalam catatannya hari ini, Najib turut melampirkan graf menunjukkan bandingan pasaran saham Amerika Syarikat (AS) dengan Malaysia sejak 2017 untuk menyokong ramalannya.

“Ramai juga tak sedar bahawa jumlah saiz aset KWSP adalah sangat besar berbanding saiz ekonomi tempatan.”

Jumlah nilai terkumpul (market capitalization) semua syarikat tersenarai dalam Bursa Malaysia adalah RM1.622 bilion pada akhir bulan Oktober 2020 manakala saiz KWSP adalah RM940 bilion, katanya.

“Erti kata lain, jika KWSP melabur seluruh aset mereka dalam Bursa Malaysia sama rata, KWSP akan menjadi pemegang saham terbesar dengan pegangan 58% dalam semua syarikat tersenarai Malaysia.

“Sudah tentu ini tidak munasabah, tidak mungkin dan tidak akan memberi pulangan yang baik bagi KWSP,” jelas Najib.

Menurutnya lagi, AS sebagai ekonomi terbesar dunia sudah pasti menjadi antara destinasi pelaburan luar negara terbesar bagi KWSP.

Merujuk graf yang dilampirkan juga, Najib berkata kadar pulangan dari pelaburan asing KWSP adalah lebih tinggi berbanding pelaburan domestik secara konsisten.

“Dan inilah yang sedikit-sebanyak menyelematkan kadar dividen KWSP pada tahun 2018 dan 2019 apabila PH (Pakatan Harapan ) telah jahanamkan ekonomi negara sehingga pasaran saham jatuh menjadi paling corot dalam dunia.” – 14 Februari, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen