Benteng terakhir demokrasi runtuh jika hentikan SC Parlimen, kata ketua PAC


Atas nasihat Peguam Negara, semua aktiviti Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen tidak dibenarkan ketika Darurat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Februari, 2021.

PENGERUSI Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh mempersoalkan nasihat Peguam Negara supaya Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (SC) menghentikan semua aktiviti mereka dalam keadaan darurat ini.

Wong, Ahli Parlimen Ipoh Timur itu berkata beliau menerima panggilan pagi ini dari Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin yang memaklumkan kepadanya mengenai keputusan Jabatan Peguam Negara untuk menghentikan aktiviti SC, yang turut merupakan pandangan Penasihat Undang-undang Parlimen (PUU).

“Saya diberitahu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen tidak diizinkan untuk bersidang ketika Parlimen digantung, dan menurut Ordinan Darurat.

“Pandangan AGC (Jabatan Peguam Negara) terlalu ketat dan regresif. Ini secara efektifnya telah meruntuhkan benteng terakhir demokrasi di negara ini.”

“Pandangan AGC juga telah membelakangi kedudukan awal Speaker di mana Speaker pada 12 Januari telah mengeluarkan kenyataan mengesahkan semua Kumpulan Parlimen Parti dan semua Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen akan terus berkuatkuasa,” kata Wong dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada kenyataan Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun sehari selepas darurat dikuatkuasakan, di mana beliau berkata semua jawatankuasa terpilih dan kokus Parlimen dapat meneruskan kerja mereka, kerana hanya proses perundangan ditangguhkan di bawah Darurat.

Wong berkata pandangan AGC terlalu sempit kerana Ordinan Darurat 2021 hanya menyatakan peruntukan Perlembagaan yang berkaitan dengan “memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen” tidak akan berlaku.

Ini tidak boleh mempengaruhi fungsi jawatankuasa pilihan khas yang meneliti keputusan kerajaan dan hal-hal berkepentingan awam.

“Sudah parah Parlimen ditangguhkan, malah sekarang Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pula ditangguhkan atas nama Darurat.

“Bagaimana Parlimen dan ahli-ahlinya akan memainkan peranannya sebagaimana dinyatakan, atau seperti yang dijamin oleh Speaker awalnya?”

Kenyataan media Wong susulan surat oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman kepada Peguam Negara Idrus Harun petang ini.

Azalina turut mengkritik nasihat AGC kepada kerajaan untuk tidak membenarkan kerja jawatankuasa pilihan khas.

Beliau berkata ini memberikan Eksekutif terlalu banyak kuasa dan tidak ada kebertanggungjawapan. 

Azalina menggesa agar satu Kabinet Darurat Khas yang terdiri daripada menteri-menteri yang relevan dengan fungsi terbatas dan jawatankuasa bipartisan bagi membuat semak dan imbang ketika Darurat.

Wong berkata beliau menyokong cadangan Azalina mengenai perkara itu dan surat terbukanya kepada Peguam Negara.

“Peranan Parlimen perlu dipertahankan,” tambah ahli Parlimen DAP itu.

Malaysia ketika ini berada dalam keadaan darurat, kononnya memerangi wabak Covid-19. Namun pengkritik menuduh kerajaan mahu mengekalkan kuasa dan mengelakkan diri.

Perintah Darurat diletakkan sehingga 1 Ogos ini, tetapi boleh ditarik lebih awal bergantung kepada keadaan pandemik atas nasihat jawatankuasa. – 17 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen