Perlu ada jawatankuasa khas, Kabinet untuk semak dan imbang, kata Azalina


TIMBALAN Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said menggesa agar satu Kabinet Darurat Khas yang berfungsi dengan kuasa-kuasa yang terhad semasa keadaan darurat dan Jawatankuasa Parlimen Khas Bipartisan diwujudkan bagi melaksanakan semak dan imbang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Februari, 2021.

TIMBALAN Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said menggesa agar satu Kabinet Darurat Khas yang berfungsi dengan kuasa-kuasa yang terhad semasa keadaan darurat dan Jawatankuasa Parlimen Khas Bipartisan diwujudkan bagi melaksanakan semak dan imbang.

Dalam surat kepada Peguam Negara Idrus Harus, beliau mengkritik tindakan kerajaan melaksanakan darurat yang menyebabkan Parlimen digantung dan menghalang ahli Parlimen menjalankan tugas mereka.

Menurutnya dengan penggantungan Parlimen, tiada ruang untuk mempertanggungjawabkan jemaah menteri dan menteri-menteri secara berasingan.

“Berdasarkan perkara ini mungkin peguam negara boleh mempertimbangkan menasihati penggantungan tugas-tugas jemaah menteri dan menggantikannya dengan pelantikan Kabinet Darurat Khas yang hanya terdiri daripada kementerian-kementerian yang relevan sahaja. Kabinet Darurat tersebut boleh dibenarkan untuk berfungsi dengan kuasa-kuasa yang terhad sehingga darurat dibatalkan.

“Pada masa sama sebuah Jawatankuasa Parlimen Khas Bipartisan yang terdiri daripada ahli-ahli Parlimen dari pihak kerajaan dan pembangkang boleh dipengerusikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk antara lain mempertanggungjawabkan menteri-menteri dan melaksanakan semak dan imbang yang diperlukan,” katanya dalam satu surat yang dikongsi di Facebooknya.

Beliau berkata penggantungan Parlimen menyebabkan fungsi badan perundangan dimandulkan dan aktiviti jawatankuasa khas dibatalkan.

“Eksekutif nampaknya mempunyai kebebasan dalam memerintah negara selagi mana darurat terus berkuat kuasa. Apa yang lebih membimbangkan bagi demokrasi Parlimen Malaysia adalah bahawa setiap darurat yang diisytihar atau ordinan yang digubal di bawah Perkara 150 ‘tidaklah boleh dicabar atau dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan.

“Bagaimanakah badan eksekutif akan dipertanggungjawabkan untuk keputusan yang dibuat sekiranya Parlimen tidak boleh memainkan peranan fungsi perlembagaannya yang paling utama atau dengan izin? Adakah kerajaan sanggup mengetepikan tanggungjawab menteri atas alasan krisis kesihatan?,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan kenapa kerajaan menolak pertimbangan untuk memperbaiki atau pengubahsuaian teknikal seperti yang dilakukan oleh negara lain walaun sepanjang pandemik Covid-19.

“Mengapakah langkah-langkah tidak diambil untuk membolehkan Parlimen bersidang seperti yang dilakukan oleh negara lain?

“Tanpa melakukan sebarang improvasi supaya persidangan Parlimen boleh diteruskan, kerajaan telah memutuskan untuk menggantung Parlimen sama sekali.

“Hampir semua negara yang lain termasuklah negara-negara yang mempunyai kadar jangkitan Covid-19 lebih tinggi dari negara kita tidak menggantung Parlimen. Sebaliknya negara-negara seperti United Kingdom telah melaksanakan pengubahsuaian tekninal dan procedural supaya persidangan Parlimen dapat dijalankan dengan selamat dan efisien,” katanya. – 17 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen