Pelajar dengan akses terhad mungkin ketinggalan, kata pendidik


Ragananthini Vethasalam

Pelajar dengan akses terhad untuk belajar dalam talian mungkin menghadapi masalah ketika kelas fizikal dibuka semula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Februari, 2021.

PELAJAR dengan akses terhad terhadap internet dan alat peranti kemungkinan besar berisiko tercicir dalam pembelajaran, kata para pendidik.

Shahril Liwangsah daripada Kesatuan Guru Sabah berkata terdapat pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang tidak mempunyai akses internet, sama ada wifi atau data selular.

“PdPR (pembelajaran dan pengajaran di rumah) berfungsi dengan baik di tempat yang mempunyai capaian internet dan di kalangan pelajar yang ibu bapanya secara kewangan mampu dan terlibat dalam pengajaran anak-anak mereka.

“Namun, pelajar dengan akses terhad internet dan alat peranti terutama yang tergolong dalam kumpulan B40 menghadapi beberapa cabaran,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Semakan di platform e-dagang menunjukkan alat peranti termurah berharga lebih RM100 dan memerlukan sambungan wifi yang turut memerlukan kos tambahan. Alat peranti dengan spesifikasi yang baik berharga sekitar RM500.

Shahril berkata sebilangan ibu bapa tidak mempunyai alat peranti yang boleh disambungkan ke internet dan oleh itu ia tidak sesuai untuk pembelajaran dalam talian.

“Selain itu, sebilangan pelajar harus menunggu ibu bapa mereka pulang dari tempat kerja untuk mengikuti pembelajaran dalam talian mereka kerana tidak mempunyai alat peranti sendiri atau ada beberapa keluarga dengan anak yang ramai (jadi mereka harus bergilir-gilir menggunakan alat peranti),” tambahnya.

Para guru juga berdpan cabaran kerana mereka harus meluangkan lebih banyak masa dengan pelajar, terutama mereka yang tidak dapat menyelesaikan tugas tepat pada masanya kerana kekangan ini.

Ini juga menjadi sebab kenapa pelajaran yang dibuat melalui Google Meet tidak berjalan lancar, katanya.

Pembelajaran dalam talian di rumah dilakukan oleh guru melalui pelbagai saluran seperti Google Meet, Google Classroom dan Zoom.

Siaran TV pendidikan juga dimembolehkan pelajar mengikuti pembelajaran mereka.

Selain itu, guru juga perlu menyediakan kerja tambahan untuk memastikan pemahaman modul yang lebih baik di kalangan pelajar mereka.

Beliau berkata, lebih mudah bagi guru mengajar pelajar yang sedikit perlahan tentang sesuatu subjek dalam bilik darjah fizikal.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Harry Tan berkata pelajar dengan akses terhad untuk belajar dalam talian mungkin menghadapi masalah ketika kelas fizikal dibuka semula.

Ada kemungkinan pelajar ini mungkin harus bergantung pada rakan mereka untuk pelajaran yang diberikan semasa PdPR kerana guru mungkin tidak mengulangi pelajaran lepas.

Oleh itu, Tan berkata pelajar itu berisiko ketinggalan kecuali jika guru turut menyusun modul untuk diajar di luar talian.

Bagaimanapun, beliau berkata masalah memahami pelajaran tidak terbatas pada mereka yang tidak mempunyai akses internet atau peranti.

Pelajar yang mempunyai akses kepada pembelajaran dalam talian juga berisiko ketinggalan sekiranya ibu bapa mereka tidak dapat mengajar mereka di rumah.

“Selain itu terdapat banyak ibu bapa yang bekerja dan tidak tinggal di rumah,” katanya.

“Berdasarkan maklum balas daripada ibu bapa, guru memainkan peranan sebagai fasilitator. Guru akan memberi penjelasan mengenai isi kandungan dan kemudian memberikan kerja rumah yang harus disiapkan oleh pelajar.”

Masa yang diperlukan untuk menyelesaikan kerja rumah adalah sebahagian daripada penilaian.

Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (Magpie) Mak Chee Kin berkata, akses terhad adalah isu penting yang harus ditangani cepat kerana pembelajaran dan masa depan anak-anak sedang dipertaruhkan.

“Kerana kekangan dan keterbatasan, saya dapat tahu ada beberapa pelajar kehilangan minat sementara ada yang terus berputus asa,” katanya.

Pelajar dengan akses terhad untuk belajar dalam talian mungkin menghadapi masalah ketika kelas fizikal dibuka semula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Februari, 2021.

Apa boleh dibuat

Shahril berkata semua pihak perlu meletakkan komitmen 100% termasuklah Kementerian Pendidikan, ibu bapa dan guru bagi menyelesaikan masalah ini.

Kementerian harus meningkatkan kesedaran melalui TV Pendidikan.

Selain itu, isu jurang digital antara kawasan maju dan kurang maju di negara ini harus ditangani bagi merapatkan jurang ketidaksamaan dan memastikan tidak ada pelajar yang ketinggalan, katanya.

Beliau berkata modul dapat dikeluarkan kepada ibu bapa dan pelajar di luar talian.

“Hujah untuk memberi modul buat ibu bapa adalah bagi membantu mereka membimbing anak-anak mereka semasa proses persekolahan di rumah (homeschooling).

“PdPR hanya harus ditumpukan pada mata pelajaran teras. Kaedah ini akan mengurangkan tekanan kepada guru, pelajar dan ibu bapa,” katanya.

Katanya, semua pihak harus bersama-sama mencari kaedah pedagogi terbaik bagi memastikan kesinambungan proses pendidikan.

Mak dalam pada itu turut menyatakan kebimbangan jika permintaan untuk peranti melebihi bekalan akan membuatkan harga peranti meningkat.

Tambahnya, peranti tidak berguna buat pelajar jika tiada capaian internet.

“Sudahkah Kementerian Pendidikan dan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) bersatu dengan syarikat telekomunikasi untuk segera menyelesaikan masalah ini?

“Berapa lama masa yang diperlukan untuk kawasan luar bandar tanpa capaian mendapat capaian internet?,” soalnya.

Katanya, pelajar akan terus terkesan kecuali ada akses yang betul kepada peranti dan internet serta sekiranya guru dilatih dengan betul untuk membuat pembelajaran dalam talian.

“Saya harap KPM akan mengambil perhatian dan mengarahkan jabatan pendidikan negeri memberi nasihat kepada pelajar yang terlibat terutama mereka yang menunjukkan tanda-tanda putus asa untuk bersekolah,” katanya.

Tahun lalu, Kementerian Pendidikan mengakui hanya 6% kanak-kanak sekolah yang mempunyai komputer.

Selain itu, hanya 5.67% murid didapati memiliki alat peranti tablet, 9% mempunyai komputer riba dan 46% memiliki telefon pintar.

Seramai 36.9% pula didapati tidak mempunyai sebarang alat peranti untuk mengikuti pengajaran secara talian di rumah.

Kajian itu dijalankan antara Mac hingga April tahun lepas melibatkan 670,000 ibu bapa dengan jumlah keseluruhan 900,000 pelajar. – 18 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen