Segera agih 150,000 komputer pada pelajar, kata NUTP


Diyana Ibrahim

Kajian mendapati hanya 5.67% murid didapati memiliki alat peranti tablet, 9% mempunyai komputer riba dan 46% memiliki telefon pintar untuk menjalani pembelajaran secara atas talian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Januari, 2021.

PERTUBUHAN guru menggesa kerajaan menyegerakan pemberian 150,000 komputer riba kepada pelajar bagi menangani masalah pembelajaran di rumah sewaktu pandemik Covid-19.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Aminuddin Awang memberitahu The Malaysian Insight  ia perlu disegerakan untuk membantu pelajar yang kurang berkemampuan.

Ini kerana ia sudahpun diumumkan dalam Belanjawan 2021 sebagai sumbangan melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), katanya.

“Dalam isu bantuan pemberian komputeri riba dan juga dinyatakan dalam Belanjawan 2021, kerajaan melalui GLC dan GLIC akan menyumbangkan RM150 juta ke dalam Tabung Cerdik.

“Jadi, dalam hal ini ia bukan sumbangan secara langsung dari pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Ia dari GLC dan GLIC.

“Kami mengharapkan semua pihak dapat bekerjasama bagi membolehkan agihan dapat dilaksanakan dengan cepat demi kebaikan murid yang kurang berkemampuan,” katanya.

Pemberian 150,000 komputer riba itu menjadi persoalan ketika ibu bapa mengeluh kerana tidak mempunyai peranti untuk kegunaan anak bagi pembelajaran di rumah.

Ibu bapa ini bimbang keadaan itu akan merencatkan lagi pembelajaran anak yang sudah pun ketinggalan sepanjang tahun lalu sewaktu sekolah ditutup akibat pandemik Covid-19.

Bermula minggu lalu, hanya pelajar yang menghadapi peperiksaan penting saja diwajibkan hadir untuk pembelajaran bersemuka di sekolah dan pelajar lain meneruskan pembelajaran di rumah.

Menteri Kewangan Zafrul Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 pada November lalu mengumumkan 150,000 komputer riba itu akan diagihkan kepada 500 sekolah terpilih.

Bagaimanapun sumbangan tersebut masih tidak kunjung tiba dan ibu bapa bergelut untuk menyediakan peranti bagi pembelajaran tersebut dan juga bayaran untuk liputan internet.

Hinggakan, mereka terpaksa merayu bantuan daripada pelbagai pihak seperti pendakwah dan dermawan terkenal Ebit Liew.

NUTP gesa kerajaan menyegerakan pemberian 150,000 komputer riba kepada pelajar bagi menangani masalah pembelajaran di rumah sewaktu pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Januari, 2021.

Ebit semalam mendedahkan, beliau menerima 43,000 pesanan dalam masa singkat daripada ibu bapa yang memohon bantuan pemberian alat peranti tersebut.

Masalah serius mengenai pemilikan peranti itu diakui Kementerian Pendidikan yang mendedahkan kajiannya mendapati hanya 6% murid memiliki komputer sendiri.

Selain itu, hanya 5.67% murid didapati memiliki alat peranti tablet, 9% mempunyai komputer riba dan 46% memiliki telefon pintar.

Seramai 36.9% pula didapati tidak mempunyai sebarang alat peranti untuk mengikuti pengajaran secara talian di rumah.

Kajian itu dijalankan antara Mac hingga April tahun lepas melibatkan 670,000 ibu bapa dengan jumlah keseluruhan 900,000 pelajar.

Mengulas perkara itu, bekas ketua pengarah pelajaran Malaysia Alimuddin Mohd Dom berkata kerajaan sepatutnya mewujudkan satu jawatankuasa khas bertujuan menyelesaikan masalah itu.

“Kerajaan perlu tubuh satu jawatankuasa terdiri daripada pelbagai kementerian, NGO dan mungkin individu  tertentu untuk mencari jalan dalam isu berlaku ketika ini,” katanya.

Beliau mengakui keperluan peranti bagi pembelajaran di rumah sememangnya mendesak dan meminta ibu bapa bersabar.

Jelasnya, kelewatan pemberian komputer riba itu mungkin disebabkan proses yang memakan masa lama memandangkan ia melibatkan satu jumlah besar.

“Mungkin dalam proses kerana untuk sediakan semua akan mengambil masa jadi ibu bapa bersabar.

“Kementerian sudah mengambil langkah dan juga diumumkan dalam belanjawan. Jadi hendak sediakan bajet yang besar ini bukan mudah,” katanya.

Pembelajaran secara online di rumah kini dijalankan guru melalui pelbagai salurn seperti Google Meet, Google Classroom dan Zoom.

Selain itu, siaran TV Pendidikan juga diwujudkan semula di saluran televisyen konvensional bermula 6 April selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana pada kali pertama.

Menteri Pendidikan Radzi Jidin semalam berkata TV Pendidikan yang bermula pada 1972 dipindahkan ke dalam talian melalui EduwebTV pada 1 Mac, 2008.

Ia kemudiannya ditamatkan di TV konvensional bermula 1 Januari, 2009 sehingga disiarkan semula pada tahun lalu.

“Pada masa ini TV Pendidikan bersiaran selama sembilan jam sehari, iaitu dua jam di TV Okey, empat Jam di Astro Tutor TV dan tiga jam di NTV7.

“Kami sedar jumlah masa siaran ini adalah masih belum mencukupi dengan mengambil kira keadaan semasa.

“KPM sentiasa berusaha untuk terus memperkasakan TV Pendidikan dengan pendekatan yang bersesuaian. KPM sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik,” katanya. – 25 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen