Beri keluarga miskin RM1,000 untuk belanja bulanan, kata Guan Eng


Kamles Kumar

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata kerajaan tidak sepatutnya hanya menumpukan pada pembayaran sekali sahaja tetapi lebih fokus pada kesusahan rakyat yang bertambah setiap bulan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Februari, 2021.

PUTRAJAYA perlu memberikan keluarga kurang berkemampuan wang perbelanjaan bulanan sebanyak RM1,000 untuk menolong perbelanjaan isi rumah semasa krisis Covid-19, kata setiausaha agung DAP Lim Guan Eng.

Bekas menteri kewangan itu berkata kerajaan Perikatan Nasional tidak sepatutnya hanya menumpukan pada pembayaran sekali sahaja seperti pakej Prihatin tetapi lebih fokus pada kesusahan rakyat yang bertambah setiap bulan.

“Kerajaan PN telah melupakan penderitaan mereka yang berada dalam kesulitan. Kita perlu mempunyai keadaan ekonomi yang radikal. Kita tidak boleh terlalu terikat dengan cara lama. Kita perlu menyelamatkan rakyat dan pekerjaan mereka. Ini adalah perjuangan untuk kelangsungan hidup rakyat Malaysia.

“Orang ramai tidak memerlukan bayaran sekali seperti Prihatin tetapi sesuatu setiap bulan untuk menyara keluarga mereka. Sekurang-kurangnya RM1,000 seperti yang dijanjikan oleh perdana menteri,” katanya dalam forum bersama Majlis Profesor Negara (NPC).

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Disember lalu berkata bahawa Jabatan Kebajikan Masyarakat harus meningkatkan bayaran bantuan bulanan kepada RM1,000.

Lim juga mengkritik belanjawan negara bernilai RM330 bilion sebagai terlalu konservatif.

“Belanjawan 2021 adalah untuk menjimatkan. Itu adalah bajet cermat. Ini tidak mungkin, kita berdepan krisis ketika ini. Kita perlu berbelanja dengan berani,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata bahawa bank perlu meringankan syarat pinjaman mereka dan juga melanjutkan moratorium pembayaran balik untuk perniagaan yang gagal.

Lim juga prihatin dengan keadaan sistem pendidikan negara yang berjugang berdepan digitalisasi.

“Kerajaan perlu menggunakan kesempatan ini untuk membeli komputer riba bagi semua pelajar bagi membolehkan mereka mempunyai alternatif untuk belajar.

“Ada negara-negara yang kurang kaya daripada kita yang menggunakan sistem ini seperti Vietnam dan beberapa wilayah Indonesia. Kita tidak boleh ketinggalan,” katanya. – 4 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen