Wajib buat ujian Covid-19, pelanggan elak ke pasar borong KL


Bernard Saw

Pelanggan kini beralih ke tempat lain untuk mendapatkan bekalan menyebabkan peniaga di pasar borong KL kerugian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Januari, 2021.

DISEBABKAN perlu membuat ujian saringan Covid-19, pelanggan kini menjauhkan diri dari pergi ke pasar borong Selayang di Kuala Lumpur, kata peniaga.

Mereka berkata pelanggan tawar hati dengan syarat kesihatan oleh pihak berkuasa, selain diminta mengemukakan sijil ujian Covid-19 jika mahu masuk ke pasar.

Akibatnya, pelanggan kini beralih ke tempat lain untuk mendapatkan sumber bekalan mereka, sekali gus meninggalkan peniaga di pasar borong dengan poket kosong.

Pihak berkuasa  menerapkan langkahini setelah pasar itu dilanda jangkitan Covid-19 yang bermula daripada peniaga dan pekerja di situ.

“Oleh kerana pelanggan hanya dibenarkan masuk setelah disahkan negatif Covid-19, ramai mengelak pergi ke pasar borong Kuala Lumpur,” kata Presiden Persatuan Pemborong Sayur-sayuran Kuala Lumpur Wong Keng Fatt.

Beliau berkata pelanggan lebih rela membeli bahan mentah dari sumber lain.

“Oleh itu, perniagaan hanya 50%-60% dari sebelum ini, walaupun dibenarkan buka kembali selama seminggu terakhir ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Pelanggan risau hasil pemeriksaan akan mempengaruhi mereka. Ramai takut ujian itu mempengaruhi syarikat mereka sendiri, jadi mereka tidak mahu membuat ujian itu.

“Ramai orang takut perniagaan mereka tidak akan dibenarkan beroperasi jika mereka didapati positif Covid-19.”

Wong juga mengesahkan, minggu ini tidak ada kes Covid-19 baharu di pasar borong, namun keadaan sebenar hanya dapat disahkan setelah disaring.

Dengan menggunakan kawasan perindustrian sebagai contoh, Wong berkata banyak kilang beroperasi seperti biasa sebelum ujian Covid-19.

“Sebaik saja kamu buat ujian, kamu akan ‘nampak’. Kamu tak nampak masalahnya. Sebaik saja kamu buat ujian, ia akan ada di tempat itu. Ini benar-benar sesuatu yang tidak dapat anda lihat atau sentuh. Susah untuk diramalkan.

Beliau juga berkata keputusan kerajaan membenarkan pasar borong dibuka semula adalah langkah yang baik bagi para peniaga.

Tambah Wong, prestasi penjual sayur akan terus melonjak dengan keputusan kerajaan membenarkan pasar malam beroperasi.

Beliau bagaimanapun tidak berharap penjualan akan meningkat minggu hadapan menjelang Tahun Baru Cina pada 12 Februari.

“Saya rasa ia akan jadi lebih teruk dari sebelumnya, sekurang-kurangnya 20-30% akan terjejas.”

Wong berkata selagi rakyat Malaysia tidak dibenarkan merentas negeri, perniagaan tidak akan sebagus tahun sebelumnya.

“Pasti akan ada kesan. Saya tak begitu optimis.” – 31 Januari, 2021.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen