Pasar Borong Kuala Lumpur ditutup 4 hari kerana Covid-19 


Bernard Saw

Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang ditutup empat hari bermula Khamis selepas lebih 100 kes positif Covid-19 dikesan melibatkan peniaga dan pekerja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Januari, 2021.

PASAR Borong Kuala Lumpur di Selayang akan ditutup selama empat hari bermula Khamis selepas lebih 100 kes positif Covid-19 dikesan dan dijangka akan meningkat, kata peniaga. 

Terdapat lebih 2,000 peniaga dan pekerja di pasar berkenaan dan pihak berkuasa kini menunggu keputusan ujian lebih 1,000 daripada mereka yang disaring sejak dua hari lalu. 

Keadaan adalah teruk dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sudah maklumkan kepada kami pasar akan ditutup, kata peniaga kepada The Malaysian Insight.

Ini susulan daripada pengumuman yang dibuat oleh kerajaan bahawa seluruh negara kecuali Sarawak akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan lonjakan kes Covid-19 di seluruh negara. 

Sebelum ini hanya Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah dikenakan PKP bermula 13 Januari hingga 26 Januari.

Bagaimanapun Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob semalam berkata Pahang, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, Perak dan Perlis akan dikenakan PKP bermula 22 Januari hingga 4 Februari 

Pemborong sayur memberitahu The Malaysian Insight dengan penutupan pasar borong Kuala Lumpur, harga sayur dijangka akan meningkat walaupun harga sedia ada sudah pun tinggi berikutan musim tengkujuh. 

Presiden Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur Wong Keng Fatt memberitahu The Malaysian Insight beliau tidak yakin dengan situasi dalam masa terdekat ini.

Beliau berkata penutupan hanya tiga hari namun secara umumnya perniagaan ditutup pada Ahad, menjadikan penutupan pasar berkenaan selama empat hari. 

Keputusan ujian saringan Covid-19 peniaga buah di Pasar Borong Kuala Lumpur masih belum dikeluarkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Januari, 2021.

Setakat ini, keputusan ujian saringan 1,000 orang dari pasar berkenaan sudah dikeluarkan, manakala 1,000 lagi masih menunggu keputusan. 

Sebelum ini, tiga kes dikenal pasti dalam kalangan peniaga sayur-sayuran. Semalam 27 kes baharu dikesan menjadikan jumlah keseluruhan 30 kes dalam kalangan peniaga sayur dan pekerja mereka.

Wong berkata 60% hingga 70% daripada bekalan pembekal sayu akan terjejas kerana penutupan ini. Pelanggan enggan menyimpan sayuran kerana ia tidak tahan lama. 

“Tiada siapa akan menyimpannya kerana sayur tidak boleh disimpan lama. Biasanya saya akan membelinya hari ini dan menjualnya esok jika tidak ia akan rosak.”

Berdasarkan pengalamannya ketika pasar ditutup pada Mei tahun lalu, pasar raya dan pasar raya besar tempatan akan mengubah harga mereka. 

“Mungkin pasar atau pasar raya akan menguasai jualan sayur-sayuran, tapi harganya pasti akan meningkat.”

Wong berkata harga sayuran ketika ini sudah pun mahal kerana musim hujan dan banjir beriktan musim tengkujuh. 

“Oleh kerana musim hujan, jumlah sayuran kami agak terhad, 30% hingga 40% kurang daripada biasa.  

“Kebanyakannya sudah mencatatkan harga tinggi kerana musim hujan sejak November tahun lalu.

“Banjir awal bulan ini menyebabkan harga sayur naik, jadi harga sayuran kini tinggi.”

Presiden Persatuan Pemborong Buah-buahan Kuala Lumpur, Chin Nyuk Moi berkata keputusan ujian saringan Covid-19 peniaga buah-buahan masih belum dikeluarkan. Ia dijangka akan dikeluarkan tengah hari ini.

Pemborong buah-buahan masih belum menerima pesanan tambahan dari pelanggan kerana kebanyakan mereka masih tunggu dan lihat. 

Chin bagaimanapun tidak yakin harga buah akan naik kerana musim ini tidak dekat dengan Tahun Baharu Cina. 

Sementara itu pemborong makanan laut mengesahkan penutupan perniagaan mereka sehingga Jumaat selepas 87 peniaga dan pekerja disahkan positif virus berkenaan. 

Hingga mereka pemborong terbabit tidak tahu dari mana mereka dijangkiti virus itu. 

Pada April tahun lalu, kawasan perumahan berhampiran pasar berkenaan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selepas kluster dikesan dalam kalangan pekerja asing. 
 
Kawasan sekitar pasar berkenaan dihuni oleh pekerja asing dan pelarian. – 20 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen