Pasar borong KL lapor 90 kes Covid-19


Bernard Saw

Hampir 1,000 peniaga dan pekerja di pasar borong Kuala Lumpur di Selayang menjalani ujian ketika jumlah jangkitan semakin meningkat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Januari, 2021.

PASAR borong Kuala Lumpur di Selayang mengesahkan 87 lagi kes positif Covid-19 di kalangan peniaga, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan baharu kepada 90 orang.

Lebih 2,000 pemilik gerai dan pekerjanya kini mengambil ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dengan keputusan dijangka diperoleh pada Rabu.

Susulan itu, banyak pasar basah kecil di Lembah Klang, yang mendapat bekalan dari Selayang, ditutup selama seminggu bagi kerja pembasmian.

Presiden Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur Wong Keng Fatt memberitahu The Malaysian Insight, terdapat penyaringan aktif terhadap pekerja selepas wabak terbaharu dilaporkan.

“Ada juga yang diperiksa di hospital swasta pagi ini, jadi keputusannya sudah keluar.”

Halaman Facebook bernama “Pasar Borong Makanan Laut Kuala Lumpur” (dalam bahasa Mandarin) mengumumkan semalam, seramai 44 orang dijangkiti virus tersebut.

Menurut hantaran itu, hampir 1,000 penjual dan pekerja diperiksa, dan semalam, lebih 600 orang menjalani ujian di makmal yang sama.

Pengerusi Persatuan Pemborong Ikan Hoi Seong Kuala Lumpur, Sing Kian Hock sebelum ini berkata sebanyak 43 kes disahkan dikesan di bahagian jualan ikan.

Penambahan 44 kes baru hari ini menjadikan jumlah kes yang disahkan meningkat kepada 87. Tiga yang didapati positif adalah daripada bahagian jualan sayur.

Pada Jumaat, persatuan itu memberitahu peniaga menutup gerai mereka. Kawasan jualan ikan ditutup mulai semalam dan hanya akan dibuka semula pada tengah malam Jumaat.

Pada April tahun lalu, beberapa kawasan kediaman dari pasar ditempatkan dalam perintah kawalan pergerakan diperketatkan selepas kluster pekerja asing dikesan. 

Kawasan di sekitar pasar basah borong didiami pekerja migran dan pelarian. – 18 Januari, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen