Warga asing guna rakyat tempatan sebagai proksi untuk dapatkan lesen niaga


Angie Tan

DBKL melarang pekerja asing dan pemegang kad UNHCR untuk memasuki pasar borong KL berikutan wabak Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Ogos, 2020.

WARGA asing tanpa dokumen yang sebelum ini bekerja di pasar borong Kuala Lumpur bertindak menggunakan rakyat Malaysia sebagai proksi untuk memohon lesen perniagaan, kata persatuan peniaga.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight perkara ini berlaku sejak pembekuan sementara pekerja asing dilaksanakan semasa pandemik Covid-19.

The Malaysian Insight melaporkan semalam warga asing yang sebelum ini bekerja di pasar borong menganggur selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menguatkuasakan pembekuan.

Penduduk tempatan mengambil alih lebih 80% hingga 90% pekerjaan yang dikosongkan oleh warga asing dan ini menyebabkan ratusan pelarian Myanmar, kebanyakannya pemegang Pesuruhjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), hilang kerja tanpa sebarang pendapatan.

Presiden Persatuan Pemborong Sayur-Sayuran Kuala Lumpur Wong Keng Fatt memberitahu The Malaysian Insight yang warga asing membayar penduduk tempatan sekitar RM3,000 hingga RM4,000 untuk memohon lesen perniagaan.

“Apa yang harus mereka buat, hanya duduk di situ dan memberikan kad pengenalan mereka untuk memohon lesen,” kata Wong.

Dan selepas lesen dikeluarkan, mereka mendirikan gerai di kawasan sekitarnya seperti di tempat letak kereta pasar borong.

Wong berkata lebih mudah bagi operator ini untuk mendapatkan pelanggan kerana gerai mereka didirikan di luar pasar borong.

“Sebilangan pekerja asing bahkan lebih mengetahui keperluan pelanggan kami, jadi mereka akan menawarkan harga lebih murah untuk menarik mereka,” tambah Wong.

Presiden Persatuan Pemborong Buah Kuala Lumpur Chin Nyuk Moi juga bersetuju dengan Wong, sambil menambah gerai ini menarik warga asing.

“Mereka memiliki banyak gerai, di pintu masuk dan keluar pasar borong, dan perniagaan mereka sangat bagus kerana mereka tahu bagaimana menarik pelanggan,” kata Chin.

Beliau menegaskan yang peniaga warga asing juga menjual barangan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ikan dan barangan dapur serta bersaing dengan penjual tempatan.

Chin berharap pihak berkuasa akan bertindak terhadap mereka keraja jika tidak, perniagaan vendor tempatan akan berubah menjadi lebih teruk.

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata DBKL sudah dimaklumkan untuk mengambil tindakan tegas terhadap peniaga warga asing yang beroperasi secara haram berhampiran pasar borong Kuala Lumpur.

Beliau mendesak Datuk bandar Kuala Lumpur Nor Hisham Ahmad Dhalan untuk memastikan terdapat penguatkuasaan yang konsisten di kawasan itu.

“Jangan lakukannya sekali sahaja dan kemudian berhenti. Ia mesti konsisten,” kata beliau, merujuk kepada operasi penguatkuasaan oleh pihak berkuasa bandar.

Annuar juga berkata terdapat 200 gerai sementara di luar pasar disita oleh DBKL. – 12 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen