Pelarian Myanmar rayu dibenar bekerja atau dihantar ke negara lain


Ravin Palanisamy

Pelarian sah di Malaysia kini tersekat tidak mampu menyara hidup tetapi tidak juga ada usaha menghantar mereka ke negara lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Ogos, 2020.

RATUSAN pelarian Myanmar yang terjejas sejak kehilangan pekerjaan di pasar borong Kuala Lumpur di Selayang mendesak kerajaan untuk membenarkan mereka kembali bekerja atau hantar mereka ke negara lain.

Beberapa orang pelarian memberitahu The Malaysian Insight bahawa mereka tidak akan dapat bertahan tanpa pekerjaan atau pendapatan. Kebanyakan mereka kini menganggur selama hampir lima bulan.

Muhammad Saleem, yang mengangkut sayuran di pasar Selayang sebelum ini berkata bahawa dia tidak mempunyai pendapatan untuk membayar sewa rumah dan memberi nafkah kepada lima anggota keluarganya.

Pemuda berusia 29 tahun itu bekerja di pasar borong tersebut selama empat tahun berkata bahawa kerajaan harus mempertimbangkan semula larangan pekerja asing dan pemegang kad Pesuruhjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) seterusnya membenarkan mereka bekerja di pasar itu.

“Kami menghormati undang-undang di sini. Jadi, kami minta banyak perkara, hanya benarkan kami bekerja.

“Saya tidak mempunyai wang untuk membeli makanan dan saya sudah empat bulan tak bayar sewa rumah.

“Pemilik beri masa hingga akhir bulan ini untuk langsaikan. Jika tidak, kami harus keluar,” kata Saleem.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah melarang pekerja asing dan pemegang kad UNHCR untuk memasuki pasar borong KL berikutan wabak Covid-19.

Hanya warga asing yang berdaftar dan bekerja dengan syarikat pembekal dibenarkan untuk memasuki pasar itu dan mesti didampingi majikan yang merupakan warga Malaysia.

DBKL berkata larangan itu sejajar dengan penguatkuasaan undang-undang kecil Pasar Borong (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2002 yang menetapkan tidak ada pekerja asing yang harus terlibat dalam sektor ini, dan ini dapat menghidupkan kembali persekitaran pasar dan memberikannya imej baharu yang bersih.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah melarang pekerja asing dan pemegang kad UNHCR untuk memasuki pasar borong KL berikutan wabak Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Ogos, 2020.

Seorang lagi pekerja Myanmar, Shafee Ullal, yang dari keluarga pelarian Rohingya berkata bahawa ini adalah tahun paling sukar beliau selama 12 tahun tinggal di Malaysia sebagai pelarian.

Pemuda berusia 39 tahun itu berkata bahawa dia tidak dapat menyara keluarganya dan menambah bahawa terpaksa meninggalkan rumah sewa kerana tidak membayar sewa. Dia kini tinggal bersama rakan-rakan.

Shafee juga berkata bahawa bantuan dari kumpulan masyarakat sivil tidak mencukupi dan dia tidak dapat mencari pekerjaan kerana pemilik perniagaan tidak mengambil pekerja asing.

“Saya tidak mempunyai pendapatan dan sangat sukar untuk bertahan hidup setiap hari. Saya mempunyai tiga anak dan seorang isteri di sini dan tidak dia juga tidak bekerja.

“Ini adalah ujian paling sukar dalam hidup sepanjang saya di sini. Bayangkan saja kehidupan tanpa wang dan anda mempunyai keluarga yang bergantung kepada anda. Setiap hari risau,” katanya.

Shafee berkata bahawa dia akan gembira sekiranya kerajaan atau UNHCR dapat menghantarnya dan keluarga ke negara lain.

“Saya tidak tahan lagi. Sekiranya mereka tidak izinkan kami bekerja, hantarkan kami ke negara lain. Kami tidak boleh terus menderita di sini,” katanya.

DBKL telah mengambil tindakan terhadap 12 pemegang kad UNHCR yang berniaga di pasar secara haram semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ketika fasa pemulihan (PKPP).

Seorang lagi pelarian Myanmar, Mariam (nama ini diubah bagi melindungi identiti), berkata bahawa empat bulan pengangguran adalah sesuatu yang mencabar bagi sesetengah orang, terutama mereka yang mempunyai keluarga besar.

Mariam, 47, berkata bahawa dia sedang berjuang untuk menjaga keluarganya seramai 13 orang.

“Tujuh dari 13 adalah anak-anak kecil. Hanya tiga dari kami yang dulu bekerja tetapi sekarang tidak ada di antara kami yang mempunyai pekerjaan.

“Kami tidak mampu dapatkan makanan. Kami berhutang, kami berhutang banyak orang,” katanya.

Wabak Covid-19 mengubah sistem pekerja di pasar borong sekitar Kuala Lumpur, menyukarkan pekerja asing sah yang selama ini mencari rezeki di situ. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Ogos, 2020.

Mariam berkata hatinya hancur setiap kali anak-anaknya berkata bahawa mereka lapar, namun apakan daya, dia tidak mampu menyediakannya.

“Kadang-kadang saya pergi ke kedai untuk meminta makanan kerana sebagai orang dewasa, kita dapat mengawal rasa lapar kita, tetapi anak-anak tak boleh.

“Kadang-kadang, saya hanya beri mereka nasi,” katanya.

Mariam berkata bahawa hanya ada dua penyelesaian untuk menyelesaikan masalah ini, sama ada membenarkan mereka bekerja atau menghantar mereka ke negara lain.

Berikutan tindakan keras terhadap warga asing tanpa dokumen, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa menegaskan bahawa beliau ingin melihat pasar borong itu agar tidak ada warga asing yang bekerja, terutamanya reaksi masyarakat terhadap komuniti warga asing di kawasan tersebut.

Annuar memberitahu pemilik perniagaan untuk mengupah penduduk tempatan.

Annuar juga berkata bahawa kementeriannya mendorong para belia untuk bekerja di pasar Selayang dengan gaji minimum sebanyak RM2,400.

Disebabkan kehilangan pekerjaan dan tindakan keras oleh pegawai penguat kuasa, Mariam, seorang yang berusia dalam komuniti, telah tinggal di Malaysia selama lebih dari 20 tahun.

Beliau berkata beberapa orang dari komuniti Myanmar telah melarikan diri dari kawasan itu atau telah mencari pekerjaan lain.

“Dulu ada banyak dari komuniti kami tetapi setelah tindakan keras Covid-19, saya belum melihat mereka.”

Beliau berkata bahawa mereka yang terperangkap di sini bergantung kepada kumpulan masyarakat sivil dan UNHCR untuk bantuan.

“Kami datang ke sini kerana negara kami mempunyai masalah tetapi sekarang kami juga mempunyai masalah,” kata Mariam. – 11 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen