Kompleks pasar borong baharu dan moden akan dibina, kata menteri 


Ravin Palanisamy

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa (tengah) ketika mengadakan lawatan ke Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang, hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli 30 Jun, 2020.

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini dalam fasa terakhir dalam pelan strategik untuk membina pasar borong yang lebih baik dan moden, kata Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa.

Beliau berkata DBKL sedang mengkaji reka bentuk dan operasi pasar borong di negara yang lebih maju seperti Jepun dan Korea Selatan sebelum meneruskan projek yang sama di negara ini. 

“Sudah tiba masanya KL mempunyai pasar borong moden.

“Dewan bandaraya mahu membina bangunan pasar yang lebih moden yang akan menggunakan teknologi hijau dan menggunakan lebih banyak jentera,” kata Annuar selepas melawat Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang, hari ini. 

Menurutnya, peniaga memerlukan tempat yang lebih baik untuk beroperasi memandangkan pasar sedia ada sudah berusia lebih 30 tahun.

Kos pembinaan pasar baharu di lokasi yang sama adalah antara RM200 juta dan RM300 juta. DBKL menyasarkan pembangunan itu siap pada akhir tahun hadapan.

“Kita melihat kompleks bertingkat dengan parkir kenderaan. 

“Saya telah beri tarikh akhir kepada DBKL yang mana kerja pembinaan akan bermula tahun ini.

“Diharap menjelang akhir tahun depan, kita akan mempunyai pasar borong baharu,” tambah Annuar.

Mengenai isu pekerja asing di pasar borong KL, Annuar mengulangi kenyataan bahawa peniaga perlu hentikan mengambil pekerja asing. 

Bagaimanapun katanya, menurut peniaga warga tempatan tidak berminat untuk bekerja di pasar. Ini terbukti apabila pada awalnya ramai pekerja tempatan memohon kerja namun berhenti selepas beberapa hari dengan memberi pelbagai alasan.

Bagi menggalakkan peniaga menggaji pekerja tempatan, DBKL akan menyediakan 10 unit kediaman di bangunan berhampiran untuk digunakan sebagai kemudahan pekerja tempatan.

Annuar berkata, pekerja yang tinggal jauh dari pasar boleh tinggal di kemudahan yang disediakan agar mereka boleh jimat kos pengangkutan dan mudah untuk ke tempat kerja.

Menurutnya, pasar borong berkenaan juga perlu ditutup seminggu sekali untuk kerja sanitasi dan pembersihan. 

Beliau berkata, peniaga boleh tentukan hari apa untuk menutup pasar dan berbincang dengan DBKL. 

“Sanitasi tidak boleh dibuat hanya ketika pandemik seperti Covid-19 sahaja, tetapi ia perlu dibuat secara berterusan. 

“Kita telah belajar daripada pandemik Covid-19 untuk menjaga kebersihan. Ini perlu jadi kebiasaan baharu pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” tambah Annuar. – 30 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen