Pasar basah Lembah Klang perketat SOP bendung Covid-19


Angie Tan

Pasar basah di sekitar Lembah Klang sentiasa memastikan SOP dipatuhi bagi membendung penularan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Januari, 2021.

KERANA bimbang wujud kluster baharu Covid-19, pasar basah di sekitar Lembah Klang mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) berikutan tiada tanda kes akan reda.

Pasar-pasar ini mendapat bekalan terus dari Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang, yang merekodkan lebih 170 kes Covid-19 minggu lalu. Beberapa bahagian di pasar borong berkenaan ditutup sementara baru-baru ini untuk kerja-kerja nyah kuman.

Pasar di sekitar Lembah Klang juga menjalankan proses nyah kuman, manakala peniaga dan pekerja diminta menjalani ujian saringan Covid-19. Mereka mengambil inisiatif sendiri bagi memastikan premis mereka bebas dari jangkitan Covid-19.

Persatuan Penjaja dan Peniaga Ampang berkata faktor kekurangan dana menyebabkan mereka tidak mampu mengupah pengawal keselamatan dan menyahkuman pasar menggunakan khidmat profesional.

Bagaimanapun, dengan kerjasama 150 peniaga, mereka menubuhkan pasukan pemantau yang akan memastikan SOP dipatuhi, kata naib pengerusinya Hee Chee Choong.

“Kami mula buat pemantauan sejak tahun lepas. Oleh sebab wabak semakin serius, kami tubuh satu pasukan pemantau di pintu masuk dan keluar pasar.

“Kami menghadkan hanya 70 pengunjung pada satu-satu masa. Kami pastikan suhu badan mereka diperiksa dan kod MySejahtera diimbas,” kata Hee.

Beberapa bahagian di Pasar Borong KL ditutup sementara baru-baru ini untuk kerja-kerja nyah kuman, selepas lebih 170 kes Covid-19 dikesan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Januari, 2021.

Selain itu, pengunjung pasar juga diingatkan supaya menjaga jarak fizikal.

“Kerana kami bimbang, jika ada yang dijangkiti Covid-19, seluruh pasar kena tutup. Dan ini sudah tentu menjejaskan perniagaan semua orang.

“Pasar dinyah kuman sekali atau dua kali dalam sebulan. Semua peralatan dan bahan kami beli sendiri, yang paling asas saja, dan salah satunya ditaja oleh seorang penjaja,” tambah Hee.

Bagi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kawasan Kepong, yang menaungi enam pasar pagi dan 15 pasar malam, berkata mereka juga mematuhi SOP ketat sejak tahun lalu.

Bagaimanapun, dua pasar iaitu Pasar Pagi Jinjang Utara dan Pasar Pagi Kepong Baru ditutup baru-baru ini selepas beberapa penjaja disahkan positif Covid-19. Mereka dipercayai mendapat jangkitan dari dua peniaga ikan yang mengambil bekalan dari Pasar Borong KL di Selayang.

“Jangkitan ini tak boleh kita jangka. Virus berada di sekeliling kita, jadi siapa-siapa pun boleh kena jangkit,” kata naib pengerusi persatuan itu, Deric Teh Siong Lieng.

“Mulanya, Jabatan Kesihatan mengarahkan 20 penjaja dan 10 peniaga berhampiran gerai penjaja yang positif Covid-19 jalani ujian.

“Tetapi sebagai langkah berjaga-jaga, persatuan meminta semua penjaja jalani ujian Covid-19 dan pamer keputusan di gerai apabila pasar dibuka,” tambahnya.

Pasar Chow Kit, yang pernah mencetus kluster Covid-19 dengan 90 kes dilaporkan pada Mei tahun lalu, turut mengekalkan SOP ketat bagi membendung penularan.

Pengerusi Persatuan Penjaja & Peniaga Kecil Kaw Chow Kit Lee Chick King berkata peniaga tempatan di pasar itu sentiasa mengamalkan SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

“Kita tak boleh nak kawal semua perkara. Lagi pun, virus ini tak nampak dengan mata kasar. Kita hanya boleh jalankan peranan kita dengan memakai pelitup muka dan selalu cuci tangan.”

“Kadang-kadang anggota polis datang meronda, jadi penjaja dan pelanggan akan patuh SOP. Memang rasa tak selesa, tapi ini semua demi keselamatan semua orang.”  – 28 Januari, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen