Jabatan perikanan rampas 147 bubu naga bernilai RM11,000 di Perak


Sebanyak 147 bubu naga dirampas dan dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh untuk tindakan selanjutnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Januari, 2021.

JABATAN Perikanan Perak merampas 147 unit bubu naga bernilai RM11,760 dari beberapa lokasi berasingan berhampiran Pantai Remis sejak Khamis lepas.

Ketua Pangkalan Utama Cawangan Perlindungan Sumber Kampung Acheh Mansor Yobe berkata hasil aduan nelayan, seramai enam anggota yang menaiki bot Ronda PL91 telah ke lokasi dipercayai terdapat pemasangan bubu naga kira-kira jam 9 pagi, kelmarin.

“Sebaik tiba di lokasi, terdapat pemasangan peralatan menangkap ikan secara haram iaitu bubu naga yang dijumpai berasingan dari 0.4 batu nautika Tanjung Batu sehingga ke 8.7 batu nautika Pulau Talang, Pantai Remis.

“Hasil pemeriksaan selama dua hari sehingga semalam, sebanyak 147 bubu naga dirampas dan dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mansor berkata kes disiasat di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 iaitu memiliki atau memasang peralatan menangkap ikan tanpa suatu kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan. – Bernama, 30 Januari, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen