Tindakan tegas terhadap nelayan sengaja abai pukat hantu, kata menteri


Salahuddin mengulas laporan media berkaitan kewujudan pukat hantu di perairan negara yang memerangkap hidupan laut, termasuk ikan paus, ikan lumba-lumba, anjing laut dan penyu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2019.

TINDAKAN tegas akan diambil terhadap nelayan yang didapati sengaja meninggalkan pukat mereka di laut sehingga menjadi ‘pukat hantu’, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub.

Beliau berkata perbuatan segelintir nelayan yang sengaja berbuat demikian tidak boleh diterima kerana ia mengganggu serta membunuh hidupan laut.

“Pukat hantu bukan isu baru. Pukat hantu yang ditinggalkan, mengancam perairan negara. Segala pukat yang mengganggu kehidupan laut akan dirampas segera. Sesiapa yang langgar syarat (pukat),  akan diambil tindakan.

“Saya guna budi bicara dan peraturan yang ada. Jika ulangi kesilapan yang sama, memang tiada maaf,” katanya kepada pemberita selepas hadir sesi bersama nelayan di Kampung Sungai Chengkeh, 35 minit dari pekan Pontian, hari ini.

Pukat hantu merujuk kepada pukat yang ditinggal dan tertinggal, di mana ia memerangkap ikan atau habitat karang dan akhirnya memusnah sumber perikanan.

Salahuddin mengulas laporan media berkaitan kewujudan pukat hantu di perairan negara yang memerangkap hidupan laut, termasuk ikan paus, ikan lumba-lumba, anjing laut dan penyu.

Laporan itu menyebut, di perairan Malaysia, sukar untuk menganggarkan jumlah pukat hantu tersadai di dasar laut atau hanyut dibawa arus, kerana tiada data dikumpul mengenainya kecuali penemuan oleh penyelam setiap kali melakukan aktiviti di dasar laut.

Selain berpunca daripada pukat atau jaring nelayan tempatan yang tersangkut di dasar atau terputus serta hanyut ketika cuaca buruk, keadaan diburukkan oleh perbuatan nelayan asing yang menceroboh perairan apabila nekad memutuskan pukat sebelum membiarkannya hanyut setiap kali mengelak ditahan pihak berkuasa.

Pukat hantu yang sering ditemui penyelam setiap kali menjalankan aktiviti di dasar laut, bukan saja berisiko memerangkap hidupan marin, malah mampu ‘membunuh’ terumbu karang yang menjadi sumber makanan dan pembiakan ikan.

Terdahulu, Salahuddin meluangkan masa dalam sesi dialog bersama komuniti nelayan yang antara lain mahukan kebajikan mereka terbela antaranya isu jaring, rumah dan bantuan hidup. – Bernama, 10 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen