Kerajaan peruntuk RM1.17 juta bantu nelayan


Kerajaan memperuntukkan RM1.17 juta bagi melaksanakan Pakej Rangsangan Ekonomi di bawah program my Komuniti Perikanan (myKP) untuk membantu nelayan di 13 kawasan di seluruh negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2020.

KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan memperuntukkan kira-kira RM1.17 juta bagi melaksanakan Pakej Rangsangan Ekonomi di bawah program my Komuniti Perikanan (myKP) untuk membantu nelayan di 13 kawasan di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Ahmad Hamzah berkata ia meliputi bantuan perkakas dan peralatan peranti pengumpulan ikan iaitu unjam atau tukun serta kabin di Pusat Transformasi Perikanan (FTC) myKP.

“Diharapkan ianya dapat meningkatkan kecekapan operasi penangkapan ikan dengan pengurusan yang terkawal dan tersusun serta mengurangkan kos operasi penangkapan ikan selain menjimatkan masa dan minyak para nelayan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program melabuh unjam myKP di Jeti Nelayan Umbai, hari ini. 

Terdahulu, beliau merasmikan penubuhan myKP Umbai melibatkan 17 nelayan yang menjalankan aktiviti pemprosesan ikan pekasam laut, penjualan ikan segar, membawa penumpang dan pemancing rekreasi. – Bernama, 8 Ogos, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen