Tujuh nelayan ditahan tangkap ikan tanpa lesen


Tujuh lelaki tempatan berusia 17 hingga 56 tahun yang berada di atas tiga bot tersebut tidak mempunyai lesen sah ketika ditahan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos, 2020.

TUJUH nelayan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang kerana menangkap ikan tanpa lesen pada kedudukan kira-kira 3 batu nautika timur laut Pulau Kendi semalam.

Pengarahnya Kapt Maritim Hamizan Harun berkata pihaknya yang sedang menjalankan Op Benteng Laut di perairan Pulau Pinang pada 12.45 tengah hari bertindak menahan tiga buah not nelayan Kelas A  kerana berada dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati tujuh lelaki tempatan berusia 17 hingga 56 tahun yang berada di atas tiga bot tersebut tidak mempunyai lesen sah untuk menangkap ikan sebagai nelayan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya pihaknya turut merampas sejumlah ikan serta tiga buah bot dan kes disiasat menurut Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985, iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan tanpa lesen yang sah.

Beliau berkata dalam operasi sama, pihaknya turut menahan tiga lelaki warga Myanmar berusia antara 16 dan 32 tahun, di 2.6 batu nautika selatan Pulau Aman kerana bekerja di sangkar ikan yang tidak berdaftar.

“Selain itu, pemeriksaan juga mendapati mereka tidak memiliki permit kerja dan dokumen pengenalan diri yang sah. Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah,” katanya. – Bernama, 16 Ogos, 2020.
 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen