Sengsara pekerja industri kebudayaan dan kreatif


Mahdzir Ibrahim

MANUSIA sememangnya makhluk sosial. Mereka bukan sahaja tidak boleh hidup bahagia tanpa bersosial, malah ia akan mendatangkan bahaya pada dirinya. 

Pergerakan fizikal terbatas, ruang bekerja terhad, tiada lagi tempat untuk melepaskan lelah melawat, menonton dan berhibur secara fizikal dan sebagainya. Malah surau dan masjid tempat untuk beribadat, majlis ilmu dan membilas jiwa juga sudah terhad ruangnya. Kita semakin kesunyian.

Tekanan perasaan ini, lama kelamaan akan memberi kesan secara fizikal pada kesihatan.

Dari sini, bermulalah masalah kewangan dan akhirnya akan menggugat kebahagiaan hidup malah ada yang sudah mencapai ke tahap ingin mencabut nyawa sendiri, na’uzubillah.

Industri tidak ketara

Kesan penghasilan Industri kebudayaan dan kreatif ini umumnya bersifat tidak ketara (intangible) dalam kehidupan, kecuali jika diukur dari segi makan gaji, upah atau hasil royalti dan sebagainya. 

Yang menjual lukisan dapat duit, yang membeli dapat apa? Yang menonton filem atau persembahan seni dapat apa? Kepuasan atau kegembiraan, maka ini kesannya bersifat tidak ketara. 

Namun dalam konteks sebuah industri, ia mewujudkan peluang pekerjaan bukan tradisional yang menyumbang kesejahteraan sosial, kesihatan, pendidikan dan kegiatan ekonomi.

Pengusaha dan pekerja industri kebudayaan dan kreatif ini menerima impak yang sangat besar daripada pandemik ini.

Majoriti mereka bukan peniaga atau makan gaji tetap. Maka tiada payung untuk menghadapi hujan.  

Dasar kerajaan untuk menyokong pengusaha, seniman dan pekerja ketika ini sukar disesuaikan dengan model perusahaan bukan tradisional ini tatkala pandemik melanda.

Memang kerajaan ada membantu, tetapi pendekatan itu harus disemak kembali bagi memastikan bantuan itu berkesan.

Bantuan seharusnya memberi tumpuan pada ekosistem industri kebudayaan dan kreatif. 

Pekerja di sektor ini menjadikannya sebagai kerjaya dan sumber pendapatan utama (hakiki), sedangkan hasil kerja mereka bukan bersifat barang keperluan (essential) seperti ubat, makanan atau pakaian. Ini cabarannya.

Tidak seperti Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) atau Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang mana modelnya tradisional yang mudah untuk menerima bantuan kerajaan secara langsung.

Terima peruntukan beli mesin pembungkusan, maka pengusaha sudah boleh membungkus kerepek dan terus dipasarkan kepada peraih atau pembeli secara fizikal atau online, misalnya.

Dampak Covid pada industri kebudayaan dan kreatif

Laporan oleh Cultural Economy Development Agency (CENDANA) pada Mei 2020 tidaklah mengejutkan kita. Tetapi sebagai manusia yang bekerja, dapatan itu membimbangkan kita.

Menurut sebuah firma perunding industri filem antarabangsa, Artisan Gateway, negara China yang merupakan wilayah kedua terbesar di dunia dari segi pasaran box office, telah menutup operasi kira-kira 70 ribu pawagam seluruh negara sejak pandemik covid melanda pada Disember 2019. 

Jika sebuah pawagam mempunyai 10 orang pekerja, maka kiralah berapa ratus ribu yang hilang pekerjaan dan sumber pendapatan.

Ini memberi kesan langsung pada pendapatan studio tempatan dan Hollywood.

Penjualan tiket dalam tempoh sebulan iaitu 24 Januari hingga 23 Februari tahun 2020 sahaja hanya sekitar AS$4.2 juta berbanding AS$1.76 bilion pada bulan yang sama pada 2019.

The Art Newspaper, sebuah akhbar seni yang berpengkalan di London dan New York menganggarkan galeri seni utama diseluruh dunia akan mengalami kemerosotan pendapatan tahunan sekitar 72% berdasarkan tinjauan akhbar tersebut.

Tinjauan ini dibuat oleh Rachell Pownall, seorang Profesor seni dan kewangan di Maastricht University, Holland.

Laporan beliau menganggarkan sekitar 62% galeri persendirian tidak akan mampu bertahan lagi. 

Galeri persendirian ini rentan untuk gulung tikar lebih awal kerana faktor aliran tunai (cash flow) dan modal perniagaan (working capital) yang kecil dan kesannya adalah kepada  ribuan pakerja galeri termasuk artis. 

Apa yang penting

Angka daripada laporan ini pada akhirnya tidaklah penting sangat kerana apa tindakan kita dari laporan-laporan ini, itu yang lebih penting.

Tulisan ini tidak akan dapat menyelesaikan masalah kita daripada Covid-19, tetapi ingin mengajak teman-teman yang berkarya dalam industri untuk berfikir dan bertindak.

Buatlah sesuatu dan angkatlah apa jua cadangan untuk kita terus bertahan malah ia boleh mengubah sikap kita menjadi lebih positif dan proaktif dalam menghadapi cabaran ini.

Virus itu makhluk biologi seperti kita, ia tidak akan mati malah boleh berevolusi melawan kembali vaksin yang kita cipta, sama seperti nyamuk aedes.

Bagi melawan virus-virus yang bermutasi, maka dos vaksin akan ditambah dari masa ke semasa hingga tubuh kita tak mampu lagi mengambil dos vaksin yang berlebihan untuk menahan jangkitan.

Kita sebagai makhluk yang bersosial, hanya boleh mengawal, mengurus, bertahan dan selebihnya kita akan terus bersosial bersama virus-virus ini, selama-lamanya. 

Justeru, kita perlu ubah sikap dan cara hidup sekarang. Kita perlu terus berjuang. – 24 Januari, 2021.

* Mahdzir Ibrahim ialah pengarah pendidikan politik DAP Johor.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen