Penjarakan sosial di tadika tidak jejas perkembangan murid


Angie Tan

Semua tadika diarahkan mematuhi penjarakan sosial dan SOP ditetapkan bagi mengelak penularan wabak Covid-19. – Gambar Facebook, 16 Julai, 2020.

PENJARAKAN sosial dan prosedur operasi standard (SOP) lain yang dilaksanakan di tadika tidak akan menyekat perkembangan dan kemahiran sosial kanak-kanak, kata guru tadika.

Mereka akui kebimbangan sebahagian ibu bapa dan pakar perkembangan kanak-kanak, tetapi berkata waktu bermain dan aktiviti pembelajaran masih boleh dijalankan tanpa sentuhan fizikal.

“Ia tidak bermakna kanak-kanak tidak boleh belajar kemahiran sosial dalam keadaan ini. Mereka hanya tidak ada kontak fizikal, demi kepentingan kesihatan mereka,” kata Presiden Persatuan Guru Tadika Malaysia Sally Ng.

Kanak-kanak pada masa ini membuat tugasan di tempat masing-masing tetapi masih boleh berkomunikasi sesama mereka, tetapi dalam keadaan memastikan jarak fizikal masing-masing.

“Kami minta mereka beri pendapat walaupun dengan penjarakan sosial. Saya tidak fikir SOP itu menyekat perkembangan mereka,” kata Ng kepada The Malaysian Insight.

Guru juga menggalakkan interaksi di bawah penjarakan sosial dengan menjadikan kelas meriah dan interaktif.

Ini termasuk mewujudkan lebih banyak muzik dan pergerakan di dalam kelas, walaupun murid berada di tempat duduk masing-masing, bagi menggantikan aktiviti luar kelas, kata Pengerusi Persatuan Tadika Miri Sim Siew Fang.

Selain itu, amat penting untuk memberi penjelasan kepada kanak-kanak ini berkenaan perubahan yang perlu dibuat itu, kata Ng.

“Bila anda larang kanak-kanak daripada melakukan kontak fizikal, anda perlu beri mereka sebabnya.

“Guru perlu fahamkan murid bahawa tidak menyentuh satu sama lain adalah cara untuk melindungi mereka dan rakan mereka daripada virus Covid-19.”

Sim bersetuju, berkata sebab penjarakan sosial dan SOP lain dilakukan, jika tidak dijelaskan dengan cara mudah difahami kanak-kanak, akan menjadikan mereka rasa keseorangan dan terasing.

“Guru juga perlu menyediakan bahan, gambar untuk memberi penjelasan kenapa murid berinteraksi dengan cara berbeza antara bersama keluarga di rumah, dengan cara interaksi di sekolah,” kata Sim.

Tadika dibenarkan beroperasi semula sejak 1 Julai lalu dengan SOP ditetapkan bagi mengelak penularan Covid-19. Sukan dan permainan yang memerlukan sentuhan fizikal tidak dibenarkan.

Sim berkata beliau kasihan kepada murid yang akan menamatkan pembelajaran tadika tahun ini kerana majlis graduasi tidak boleh diadakan.

Hari sukan yang biasanya ditunggu-tunggu murid juga tidak boleh diadakan.

“Kami perlu cari cara untuk mengadakan acara penyampaian anugerah untuk setiap kanak-kanak secara individu.”

Bagi guru, cabarannya ialah untuk mewujudkan pembelajaran yang menyeronokkan dan inovatif bagi memastikan kanak-kanak terus memberi perhatian di bawah keadaan baharu itu.

“SOP yang dikenakan itu bertujuan untuk menjaga kesihatan kanak-kanak. Objektif kami sebagai guru juga ialah melindungi kesihatan mereka. Kami hanya perlu terus mencari cara menjadikan suasana pembelajaran itu menarik untuk mereka,” katanya. – 16 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen