Mesyuarat jemaah menteri norma baharu, penghadang lutsinar jadi pemisah


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kedudukan di antara anggota kabinet dipisahkan dengan penghadang lutsinar bertujuan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2020.

MESYUARAT Jemaah Menteri pagi ini berlangsung dalam suasana ‘norma baharu’ apabila kedudukan di antara anggota kabinet dipisahkan dengan penghadang lutsinar.

Menurut kenyataan yang dikongsikan menerusi hantaran Facebook rasmi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, langkah itu bertujuan mengekalkan penjarakan fizikal bagi mewujudkan jarak pemisah antara ahli mesyuarat dalam usaha mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

“Mesyuarat hari ini juga kali pertama semua ahli Jemaah Menteri dapat berkumpul dan bermesyuarat secara bersemuka di dalam bilik mesyuarat yang sama,” menurut kenyataan itu, yang turut disertakan dengan empat keping gambar bagi menunjukkan suasana mesyuarat berlangsung.

Empat menteri kanan turut dilihat menghadiri mesyuarat itu iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof dan Menteri Pendidikan Dr Radzi Jidin. 

Kenyataan itu juga menyebut bahawa bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dan mengekalkan jarak fizikal, mesyuarat Jemaah Menteri sebelum ini dilangsungkan di tiga lokasi berbeza di Bangunan Perdana Putra. – Bernama, 14 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen