SURUHANJAYA Penerbangan Malaysia (Mavcom) menjangkakan wujud ruang untuk pertumbuhan dalam segmen kargo selepas kadar permohonan Hak Trafik Udara (ATR) melonjak 233 peratus suku ke suku pada suku keempat berakhir 31 Disember 2020.
Menerusi kenyataan hari ini, Mavcom menjelaskan peningkatan itu didorong oleh pertambahan permohonan untuk perkhidmatan kargo udara berjadual dan laluan domestik baharu.
“Daripada 40 peruntukan ATR yang diluluskan bagi tempoh suku keempat 2020, 26 adalah bagi destinasi domestik dan 14 untuk destinasi antarabangsa.
“Kelulusan ATR untuk destinasi antarabangsa termasuk empat destinasi di China, dua untuk destinasi Eropah, dua untuk destinasi India dan selebihnya enam ATR diluluskan untuk destinasi Asia yang lain,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Menurut suruhanjaya itu peruntukan ATR berdasarkan lapangan terbang pula adalah 17 peruntukan untuk penerbangan berasal dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KUL), enam dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SZB), lima peruntukan dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu (BKI) dan 12 dari lapangan terbang domestik yang lain.
Sementara itu, bagi peruntukan ATR mengikut syarikat penerbangan merangkumi Malaysia Airlines Berhad (MAB) menerima kelulusan tertinggi sebanyak 11 ATR, diikuti AirAsia Group yang menerima 10 ATR.
MyJet Xpress Airlines Sdn Bhd pula menerima sembilan ATR, manakala Raya Airways Sdn Bhd menerima sebanyak enam ATR dan Fly Firefly Sdn Bhd menerima empat ATR, jelasnya.
Pengerusi Eksekutif Mavcom, Saripuddin Kasim berkata walaupun pemulihan industri penerbangan akan mengambil masa, namun masih terdapat ruang untuk pertumbuhan daripada segmen kargo.
Beliau berkata Mavcom, sebagai pengawal selia ekonomi industri penerbangan, sedia maklum mengenai cabaran yang dihadapi oleh syarikat penerbangan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 selain keperluan untuk membantu syarikat penerbangan kembali beroperasi sepenuhnya.
“Justeru, berkuat kuasa 4 Jun, 2020 Mavcom telah memberikan penangguhan sementara syarat pembatalan ATR secara automatik jika ia tidak digunakan dalam tempoh enam bulan daripada tarikh kelulusan ATR.
“Penangguhan syarat tersebut bertujuan meringankan beban pentadbiran yang dihadapi serta membolehkan syarikat-syarikat penerbangan untuk terus memegang ATR sedia ada,” katanya.
Beliau berkata susulan itu, tiada ATR yang tamat tempoh dari 1 Oktober hingga 31 Disember, 2020 dan pihaknya akan terus berusaha membantu memulihkan industri penerbangan.
Mavcom hari ini mengeluarkan laporan peruntukan ATR bagi suku keempat 2020.
Laporan tersebut merangkumi peruntukan ATR oleh Mavcom bagi sektor penerbangan awam di Malaysia bagi tempoh 1 Oktober hingga 31 Disember, 2020.
Laporan ATR dikeluarkan secara berkala dan maklumat terperinci tersebut boleh didapati di laman web Mavcom di www.mavcom.my. – Bernama, 21 Januari, 2021.
Komen